MALAYSIA
Misi keamanan: Usaha bawa pulang aktivis Malaysia tunjuk perkembangan positif - PM

Anwar mengingatkan berdepan dengan rejim Israel bukan sesuatu yang mudah, namun kerajaan tidak akan berputus asa. -Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang ditahan dalam misi Global Sumud Flotilla menunjukkan perkembangan positif.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim sahkan usaha bawa pulang aktivis Malaysia dari misi GSF menunjukkan perkembangan positif melalui bantuan Turkiye
- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dijangka bawa rakyat Malaysia keluar dari Israel ke Istanbul dengan pesawat khas
- Anwar tegaskan kebijaksanaan diplomasi dan sokongan antarabangsa penting dalam usaha pembebasan, serta anggap aktivis GSF sebagai wira perjuangan Palestin
Beliau turut mengingatkan berdepan dengan rejim Israel bukan sesuatu yang mudah, namun kerajaan tidak akan berputus asa menggunakan semua ruang dan laluan yang ada.
“Kita sedar tahanan penjara adalah satu penderaan, sebab itu kita tidak berhenti berhubung dengan Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Türkiye serta rakan-rakan antarabangsa lain,” jelasnya.
Anwar turut menegaskan kebijaksanaan diplomasi perlu digembleng secara menyeluruh, termasuk menggunakan pengaruh kuasa besar Amerika Syarikat, di samping peranan Qatar dan Türkiye.
“Hubungan diplomasi yang baik dengan semua negara sahabat banyak membantu usaha kita untuk membawa pulang rakyat Malaysia dengan selamat.
“Fokus kita jelas, iaitu mencari apa sahaja kaedah munasabah untuk bawa pulang anak-anak (rakyat) kita. Doa kita agar mereka segera dibebaskan dan kembali ke tanah air dengan selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyifatkan rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla sebagai wira yang telah menunjukkan kekuatan luar biasa dalam perjuangan membela rakyat Palestin.
Anwar menegaskan, misi itu sendiri telah memberi sumbangan besar walaupun tidak dapat menembusi sempadan Gaza.
“Anak-anak kita yang bersama dalam flotilla ini luar biasa kekuatannya. Walaupun ada yang berkata mereka tidak sampai ke Gaza, kita harus faham mereka berdepan dengan penjajah yang ganas.
"Apa yang berlaku itu telah mencelikkan jutaan manusia di seluruh dunia,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami