KUALA LUMPUR: Sedekad sudah berlalu sejak tragedi MH370 dan misteri kehilangan pesawat membawa 239 penumpang yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 itu terus mencengkam dunia.

Walaupun usaha pencarian di seluruh Lautan Hindi telah dibuat, pesawat malang itu masih tidak ditemukan mencetuskan kebingungan dalam kalangan penyiasat mengenai destinasi terakhirnya dan punca mengapa pesawat itu mengubah laluan.

Pada ulang tahun ke-10 insiden tragis itu, kehilangan pesawat berkenaan sekali lagi menjadi tumpuan organisasi berita antarabangsa dan serantau, mencerminkan bahawa kesannya masih dirasai dan persoalan mengenainya masih belum terjawab.

Mesej terakhir "Good Night, Malaysian Three Seven Zero" sudah pasti sukar untuk dilupakan.

The Guardian dalam laporannya menyentuh mengenai kepentingan menangani persoalan dan kebimbangan yang dihadapi oleh waris kru penerbangan, terutamanya di tengah-tengah pelbagai dakwaan dan teori konspirasi.

Di sebalik usaha yang telah dilakukan, pendedahan terperinci mengenai kehilangan pesawat itu masih sukar untuk diterima oleh ahli keluarga mangsa.

Bagi Naren, adalah sukar untuk mengakui bahawa isterinya, Chandrika merupakan seorang daripada 239 penumpang dalam penerbangan yang tidak pernah sampai ke destinasi.

"Saya bimbang dengan tidak tahu apa yang berlaku kepada penerbangan itu, kami mungkin terdedah kepada kejadian serupa berulang lagi," kata Naren dari India atau nama penuhnya, KS Narendran.

CNN pula melaporkan sama ada dunia semakin hampir untuk menjumpai MH370.

Digelar sebagai antara misteri terbesar era moden, CNN mencari jawapan dengan mendapatkan pandangan pakar penerbangan.

Namun ramai pakar percaya masih ada peluang untuk serpihan MH370 ditemukan, jika bersedia untuk melaburkan dana yang besar dalam usaha pencarian pesawat.

Jurutera British Aerospace yang telah bersara Richard Godfrey berkata teknologi yang dikenali sebagai Weak Signal Propagation Reporter (WSPR) membolehkan amatur radio menjejaki kekuatan isyarat radio di seluruh dunia dan mengesan anomali yang disebabkan oleh pelbagai gangguan, termasuk pesawat yang melaluinya.

Analisis Godfrey terhadap data WSPR menunjukkan bahawa MH370 mungkin berada pada kedudukan antara 3,000 dan 4,000 meter di bawah Lautan Hindi, kira-kira 1,500 kilometer di luar pantai Perth, Australia.

"Saya dengan pasti percaya MH370 boleh ditemukan," kata Godfrey kepada CNN.

Di tengah-tengah pelbagai teori konspirasi sejak bertahun-tahun lamanya, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini seolah-olah memberikan sinar baharu.

Anwar berkata Putrajaya bersedia untuk membuka semula siasatan berhubung kehilangan pesawat itu jika terdapat bukti baharu dan kukuh.

Ini berlaku selepas Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bahawa beliau bersedia bertemu firma penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity, untuk memberi taklimat kepadanya mengenai cadangan pencarian terbaharu atas kapasiti 'no find, no fee' (tidak jumpa, tiada bayaran).

Dengan perkembangan terkini itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma itu, Oliver Plunkett, menggariskan mengenai komitmen untuk mencari MH370 dan memberikan jawapan yang dinantikan selama ini oleh mereka yang terjejas akibat kehilangan pesawat itu, menurut ABC News.

"Mengesan MH370 dan membawa beberapa resolusi untuk semua yang terkesan dengan kehilangan pesawat itu menjadi perkara yang sering bermain di minda kami sejak kami meninggalkan selatan Lautan Hindi pada 2018.

"Sejak itu, kami telah memberi tumpuan kepada memacu transformasi operasi di laut; berinovasi dengan teknologi dan robotik untuk meningkatkan lagi keupayaan pencarian kami.

"Pencarian itu boleh dikatakan paling mencabar. Kami telah bekerjasama dengan ramai pakar untuk terus menganalisis data dengan harapan dapat mengecilkan kawasan carian untuk memberi sinar kepada kejayaan pencarian," kata beliau.

Dalam satu lagi laporan, menurut The Guardian Australia menyambut baik pengumuman kerajaan Malaysia dan menawarkan bantuan untuk meneruskan usaha pencarian.

Meskipun masa terus berlalu, rakyat Malaysia dan masyarakat dunia tidak berputus asa dan masih terus berharap. Diharapkan siasatan terbaharu itu kelak dapat memberikan keadilan kepada waris mangsa.

-- BERNAMA