KETAGIHAN didefinisikan sebagai obsesi terhadap bahan atau kelakuan yang merugikan diri sendiri. Ia melibatkan ketergantungan kronik dan kompulsif terhadap sesuatu bahan mahupun kelakuan yang menjadikan kehidupan sehari-harian tidak lagi teratur apatah lagi boleh menjadikan seseorang di luar kawalan sehingga seseorang boleh hilang diri sendiri.

Akibatnya wujud pelbagai masalah dari segi fizikal dan mental, hubungan, serta pekerjaan, sehingga ada ketagihan yang membawa kepada maut.

Namun, dengan kaedah pengawalan dan pencegahan yang betul dan terbukti, ia boleh diatasi sekali gus mampu memperbaiki kualiti hidup.

Walaupun begitu, apa yang menjadi persoalan pada masa kini ialah tahap evolusi sesuatu ketagihan sehingga modaliti rawatan yang digunakan juga memerlukan pengubahsuaian.

Pakar Psikologi Kaunseling, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Solace Asia, Profesor Adjung Dr. Prem Kumar Shanmugam, dan Pengerusi Persatuan Pengurangan Kemudaratan Malaysia (MSHR), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh mengupas beberapa isu mengenai modaliti rawatan ketagihan moden yang mana, menurut mereka, ketagihan melibatkan ubatan tidak sah atau dadah telah melalui pelbagai evolusi sehinggakan rawatan konvensional atau tradisional sudah tidak menepati keperluan.

Jelas mereka, ini memaksa pihak pengawal selia termasuk pakar penyelidikan dan kesihatan untuk tampil dengan usaha untuk mengkaji semula modaliti rawatan baharu.

Kedua-dua Dr. Prem dan Dr. Sharifa ditemui dalam satu temuramah khas bersama Astro AWANI ketika Persidangan Evolving Treatment Methodologies in Addiction (ETMA) di ibu negara baru-baru ini.

Persidangan ini bertujuan untuk meneroka kemajuan dalam modaliti dan dasar rawatan ketagihan sekaligus memberi pencerahan tentang cabaran dan penyelesaian inovatif rawatan ketagihan.

Mengkaji Semula Modaliti Rawatan Tradisional

Kebimbangan utama yang diutarakan mengenai kaedah rawatan tradisional atau konvensional ialah keberkesanannya yang terhad.

“Orang ramai perlu sedar bahawa bahan ketagihan baharu, seperti dadah sintetik sudah mula menguasai pasaran menyebabkan kerumitan kepada kaedah rawatan tradisional. Ubatan terlarang atau dadah bukan lagi berasal dari bahan semulajadi seperti tumbuhan atau kimia semula jadi sebaliknya ia berevolusi sehingga sukar untuk dicegah menggunakan kaedah tradisional,” kata Dr. Prem.

Manakala, Dr. Sharifa pula menunjukkan beberapa paparan video dengan tajuk Zombie Drug, yang menunjukkan penagan dadah sintetik xylazine yang menjadikan penagih berkeliaran tanpa tuju dan dalam keadaan lupa diri dan seperti ‘zombie’.

Beliau akui, dadah bukan opioid, digunakan secara berleluasa membawa kepada kesan buruk, seperti masalah tingkah laku dan kesihatan yang teruk dalam komuniti. Ia dapat dilihat berlaku di beberapa bandar raya di Amerika Syarikat.

Oleh yang demikian, Dr. Sharifa menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi untuk tujuan kawal selia, terutamanya dalam mengesan dan memantau titik panas penagih. Beliau menekankan keperluan badan penguatkuasa menggunakan teknologi terkini untuk memerangi trend ketagihan secara lebih berkesan.

“Secara keseluruhan, teknologi baharu dan terkini sahaja mampu memerangi ketagihan moden ini. Antaranya, teknologi penyiaran dan komunikasi digunakan untuk meningkatkan kesedaran dan memperbanyakkan ilmu mengenai kesan ketagihan,” ujar Dr. Prem. 

Menurut kedua-dua mereka, terdapat beberapa pendekatan inovatif untuk rawatan ketagihan yang telah menunjukkan kemajuan dalam penyelidikan. Antara yang disenaraikan Dr. Prem dan Dr. Sharifa ialah rawatan tembakau seperti di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, New Zealand dan Australia di mana produk tembakau digunakan sebagai alternatif dalam vape, snus dan produk tembakau yang dipanaskan seperti IQos.

Produk ini, kata mereka, menyalurkan nikotin tanpa membakar tembakau, mengurangkan ketagihan tembakau. Walau bagaimanapun, Malaysia belum menerima sepenuhnya alternatif ini dan mungkin perlu mengawal selianya dengan lebih berkesan agar tidak disalah guna.

“Berbanding model ‘berhenti langsung’ yang mungkin tidak berkesan untuk semua orang, pendekatan pengurangan bahaya demi pemulihan lebih mampan. Misalnya berbanding mengarahkan seseorang berhenti merokok, sebaiknya, kita minta dia kurangkan rokok secara berperingkat untuk mencapai tahap berhenti. Ia juga sama dengan ketagihan dadah,” kata Dr. Prem.

Beliau mengambil contoh terapi Rangsangan Magnetik Transkranial (TMS) dan Terapi Elektrokonvulsif (ECT) yang sedang diterokai, bersama-sama dengan model terapi baharu seperti Penyahpekaan dan Pemprosesan Mata (EMDR), hipnosis dan terapi berfokuskan penyelesaian.

Kerjasama pelbagai pihak menggabung input berkesan

Dalam pada itu, Dr. Sharifa berkata sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta harus bekerjasama dalam menangani keperluan individu yang bergelut dengan ketagihan. Beliau menyeru pendekatan multi-kolaboratif yang menggabungkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan penjagaan yang berkesan dan inklusif.

Dr. Prem menyuarakan sentimen Dr. Sharifa, iaitu menonjolkan keperluan sistem penjagaan kesihatan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ketagihan.

“Saya akui bahawa penting untuk kita sentiasa mengikuti perkembangan dalam rawatan ketagihan dan memupuk kerjasama antara profesional penjagaan kesihatan dan penggubal dasar,” ujar beliau.

Antara kaedah yang disaran ialah dengan memupuk pemulihan menerusi kesedaran, pendidikan dan dasar atau polisi. Dr. Prem dan Dr. Sharifa berkata pendekatan holistik penting dalam menanggani punca ketagihan dan menggalakkan persekitaran yang menyokong untuk pemulihan jangka panjang.

“Memandangkan kita berdepan cabaran yang berterusan seperti krisis opioid dan kemunculan bahan ketagihan baharu, peningkatan kerjasama antara pihak berkepentingan untuk menangani sifat ketagihan yang pelbagai rupa perlu diterapkan,” kata Dr. Sharifa. 

Kesimpulannya, memandangkan landskap ketagihan terus berkembang, modaliti rawatan perlu disesuaikan menerusi inovasi, kerjasama dan komitmen terhadap pemulihan yang mampan.