KOTA BHARU: Kelantan menjadi negeri pertama melaksanakan model padanan perniagaan koperasi sekolah yang menghimpunkan 137 koperasi dengan syarikat serta rakan strategik bagi membuka peluang perniagaan, memperluas rantaian bekalan dan meningkatkan keupayaan menjana pendapatan.
Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Zaharrudin Alias berkata inisiatif itu membolehkan koperasi sekolah mendapatkan pembekal secara lebih tersusun, menggabungkan permintaan untuk memperoleh harga lebih kompetitif serta meneroka bidang perniagaan baharu.
Beliau berkata pendekatan berkenaan membolehkan koperasi sekolah tidak lagi bergantung kepada aktiviti tradisional seperti penjualan buku, pakaian dan peralatan sekolah, sebaliknya meneroka bidang yang mempunyai nilai pasaran lebih besar.
“Program padanan ini merupakan yang pertama di Malaysia, oleh itu kita melihat ini adalah satu model yang cukup baik dan kita akan membawanya untuk dilaksanakan di seluruh negara,” katanya pada Program Pemerkasaan Ekonomi Bersama Koperasi Sekolah Menengah di seluruh Kelantan dengan kerjasama Koperasi Orang Kota Bharu Berhad (COOP OKB), di sini hari ini.
Zaharrudin berkata kira-kira 12 syarikat termasuk institusi perbankan terlibat dalam inisiatif berkenaan, manakala jumlah itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa.
Beliau berkata antara bidang sedang diteroka termasuk barangan elektrik, automotif, kenderaan elektrik serta tekstil dan batik.
Menurutnya, COOP OKB berperanan sebagai penghubung antara koperasi sekolah dengan pembekal dan syarikat, sekali gus membantu mengurangkan beban pengurusan koperasi yang mempunyai kekangan masa dan tenaga untuk mencari peluang perniagaan baharu.
“Kalau jumlahnya besar, ia ada kuasa untuk mendapatkan harga lebih murah dan model ini boleh membantu merealisasikan sasaran ANGKASA untuk melahirkan 50 koperasi sekolah yang mampu menjana pendapatan lebih RM1 juta,” katanya.
Zaharrudin berkata penglibatan koperasi sekolah di Kelantan dalam aktiviti seperti makanan sejuk beku, goreng pisang dan penyewaan kemudahan membuktikan sektor itu mempunyai potensi untuk dikembangkan kepada bidang perniagaan yang lebih luas.
Beliau berkata ANGKASA akan berusaha memperluas model berkenaan ke seluruh negara, dengan Terengganu dan Pahang dijangka antara negeri terawal menerima pakai inisiatif itu sebelum diperluas ke negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, usaha berkenaan selari dengan matlamat memperkukuh gerakan koperasi sebagai mekanisme membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar, guru dan masyarakat, selain memastikan koperasi sekolah lebih berdaya saing serta mampu menjana pendapatan secara berterusan.
-- BERNAMA