MALAYSIA
Model pendidikan tinggi Malaysia jadi rujukan serantau

Zambry berkata, kecemerlangan sistem pendidikan tinggi negara juga terbukti apabila tujuh daripada 10 universiti terbaik ASEAN adalah dari Malaysia. - Foto: KPT
LANGKAWI: Model pendidikan tinggi negara terus menjadi rujukan serantau, termasuk negara-negara anggota ASEAN, bersandarkan kepada dasar yang inklusif serta perancangan yang baik dari segi pelaksanaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kecemerlangan sistem pendidikan tinggi negara juga terbukti apabila tujuh daripada 10 universiti terbaik ASEAN adalah dari Malaysia.
"Namun saya tidak mahu membuat perbandingan itu dengan anggota-anggota ASEAN.
“Yang paling mustahak ialah pengiktirafan oleh anggota-anggota ASEAN terhadap kecemerlangan pendidikan tinggi Malaysia, yang telahpun mencapai penarafan antarabangsa.“Jadi, itulah sebab kenapa rakan-rakan kita daripada negara-negara ASEAN, dalam perbincangan mereka dengan saya tadi, pun mengharapkan supaya Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam bidang pendidikan tinggi untuk negara-negara ASEAN,” katanya demikian ketika ditemui Astro AWANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin berkata, Malaysia giat memudahcara mobiliti pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di negara ini.
"Kita telah ada International Student Arrival Centre (ISAC), yang mana ini merupakan yang pertama di dunia.
“Ia membuka ruang kepada mereka untuk datang, dan kami juga ada kaunter di KLIA1 dan KLIA2.
“Kaunter ini akan memudah cara pelajar-pelajar antarabangsa kerana staf EMGS bertugas 24 jam di KLIA,” katanya.
Tambahnya, pelajar antarabangsa kemudiannya akan dibawa ke kaunter imigresen yang menyediakan empat lorong khas, dikenali sebagai special lane, dan mereka akan diiringi oleh petugas EMGS.
Kemudahan ini secara langsung memberikan keselesaan serta melancarkan urusan ketibaan pelajar antarabangsa ke Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami