IPOH: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengguna pakai model kerjasama awam swasta (PPP) untuk menaik taraf lapangan terbang yang kurang berdaya saing.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dalam keadaan kekangan kewangan sekarang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak akan melabur sehingga mendapat peruntukan pembangunan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, mungkin ada pihak swasta yang berasakan mereka mempunyai idea atau cara untuk meningkatkan daya saing lapangan terbang tertentu.

“Saya juga ada berbincang dengan MAHB untuk melihat kepada model PPP, iaitu mereka juga boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat tertentu, apabila ada terma dan syarat yang bertepatan untuk mengendalikan lapangan-lapangan terbang yang tertentu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen DAP Perak ke-22 di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi DAP Perak merangkap Menteri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Anthony Loke dalam pada itu memberitahu, kementerian telah menerima cadangan daripada syarikat swasta untuk melabur dalam kerja-kerja naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini.

“Ini sesuatu yang dalam ada dalam radar kita dan kita cuba  membantu untuk merealisasikan projek ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya kementerian belum memutuskan untuk menaik taraf landasan di lapangan terbang tersebut.

Dalam pada itu, menurutnya walaupun ada cadangan untuk membina lapangan terbang baru di Seri Iskandar, Perak, tetapi ia mengambil masa yang lama untuk direalisasikan.

Terdahulu di dalam ucapannya, beliau berkata, kementerian dan MAHB akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak untuk menambah lagi penerbangan ke Ipoh.