MALAYSIA
Model sawit, getah mampu pacu wawasan makanan global Malaysia - MIER

Mohd Effendi berkata negara perlu melihat pertanian dan keterjaminan makanan sebagai sektor pertumbuhan yang strategik, berbanding mengaitkannya dengan isu yang berulang. - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai pengeluar makanan global dengan mencontohi kejayaannya dalam industri sawit dan getah, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Effendi Norwawi berkata negara perlu melihat pertanian dan keterjaminan makanan sebagai sektor pertumbuhan yang strategik, berbanding mengaitkannya dengan isu yang berulang.
"Pertanian dan kerterjaminan makanan sering menjadi agenda utama sejak 1970-an, kini, sudah tiba masanya kerajaan untuk melihatnya dengan lebih dekat, meyusun semula keutamaan sektor ini dan mengangkatnya sebagai keutamaan negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam syarahannya di MIER Brown Bag Talk bertajuk "A Journey Through the Looking Glass: Towards Future-Proofing Malaysia's Food Security" di sini hari ini.Mohd Effendi yang juga bekas Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan berkata bil import makanan negara yang tinggi, kerentanan bekalan serta gangguan global seperti peperangan, pandemik dan perubahan iklim menuntut pendekatan baharu yang lebih menyeluruh sektor ini.
Justeru itu, katanya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta jaringan profesional pertanian negara perlu berperanan untuk menjadikan kejayaan dalam sektor sawit dan getah sebagai model dalam pengeluaran makanan, terutamanya melalui penggunaan teknologi moden dan kepakaran sedia ada.
Beliau turut menekankan bahawa selain sektor pertanian, bidang baharu yang sedang berkembang pesat seperti kecerdasan buatan (AI) dan kemampanan perlu diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Kita boleh melonjak dalam bidang seperti AI dan kelestarian memandangkan kita sudah mempunyai pakar tempatan, selain mampu menarik kepakaran antarabangsa untuk membentuk dasar dan strategi yang kukuh," katanya.
Sesi syarahan itu turut menampilkan pembentangan oleh Felo Kanan MIER Dr Larry Chee-Yoong Wong dan Khairuddin Md Tahir, yang menngesyorkan anjakan sistemik dalam pendekatan Malaysia terhadap isu keselamatan makanan.
Acara tersebut merupakan sebahagian daripada siri MIER Brown Bag Talk yang bertujuan merangsang dialog dasar mengenai isu-isu utama negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami