Model tadbir urus Tabung Wakaf Air Nasional (Wakaf Air) bertujuan membekalkan air bersih terawat kepada rakyat, kini dalam proses akhir untuk dimuktamadkan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata kerjasama dengan Yayasan Wakaf Malaysia sedang dilaksanakan bagi memastikan Wakaf Air itu dapat direalisasikan mengambil kira pelan rangkaian tindakan termasuk menubuhkan pasukan petugas bagi meneliti konsep tadbir urus yang berkesan dan selaras dengan peraturan dan undang-undang sedia ada.

"Selain itu, membangunkan struktur tadbir urus mekanisme pelaksanaan Wakaf Air dan pelaksanaan pelan komunikasi bagi mempromosi Wakaf Air kepada orang awam," katanya semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang meminta kementerian itu menyatakan secara terperinci rangka pelan dan rancangan kajian rintis pembangunan Wakaf Air di negara ini.

Tuan Ibrahim berkata pelaksanaan Wakaf Air mengambil contoh daripada tindakan Sayyidina Uthman Bin Affan yang telah mewakafkan sebuah telaga di rumahnya untuk kegunaan penduduk Madinah pada masa pemerintahan Rasulullah S.A.W.

Beliau berkata sebagai kerajaan prihatin, komitmen kerajaan ialah menyediakan projek bekalan air sama ada melalui pinjaman atau geran bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada bekalan air bersih.


Menjelas lanjut katanya, model Tabung Wakaf Air Nasional ialah berkonsepkan pembiayaan pendanaan awam bagi mewujudkan akses bekalan air kepada masyarakat luar bandar.

"Ciri utama Wakaf Air ialah menerima sumbangan dalam bentuk tunai daripada individu atau syarikat dengan niat untuk wakaf air, mengurus sumbangan dana berdasarkan ruang lingkup yang ditetapkan dan pembiayaan pelaksanaan insfrastruktur bekalan air berskala kecil tidak lebih RM50,000 seperti penggalian perigi, pembelian peralatan pam, penyediaan mini empangan dan tangki-tangki simpanan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air walaupun musim kemarau," katanya.

Beliau berkata manfaat sumbangan akan diagih kepada golongan sasar Islam dan bukan Islam.

Menjawab soalan tambahan mengenai sejauh mana agihan Wakaf Air dapat dilaksanakan secara telus dan sampai kepada kumpulan sasar, Tuan Ibrahim berkata satu jawatankuasa teknikal akan diwujudkan bagi mengurus dana yang disumbangkan.

-- BERNAMA