LONDON: Kira-kira 500,000 penunjuk perasaan terdiri daripada guru, penjawat awam dan pemandu kereta api Britain mengadakan mogok besar-besaran di London yang dikenali sebagai 'Walkout Wednesday'.

Mogok yang menuntut gaji yang lebih tinggi itu adalah koordinasi terbesar pernah diadakan dalam tempoh sedekad.

Kesatuan Pekerja mengancam lebih banyak tindakan mogok dan gangguan sekiranya kerajaan tidak melihat tuntutan gaji mereka.

Keadaan itu menyebabkan sekolah ditutup, perkhidmatan kereta api terpaksa dihentikan dan memaksa pihak tentera bersiap sedia untuk membantu pemeriksaan sempadan.

Menurut Kesatuan Pekerja, seramai 300,000 guru mengambil bahagian dan jumlah keseluruhan penunjuk perasaan mencapai 500,000 orang.

Perdana Menteri Rishi Sunak mengecam mogok yang memaksa berjuta-juta kanak-kanak ponteng sekolah.

Katanya, pendidikan kanak-kanak adalah berharga dan mereka layak berada di sekolah untuk diajar.

Kerajaannya telah mengambil pendirian tegas terhadap Kesatuan Pekerja dengan alasan bahawa menyerah kepada tuntutan kenaikan gaji yang besar akan meningkatkan lagi masalah inflasi Britain.