Skip to main content

Malaysia

Mohamad Hasan tiba di Jeddah untuk mesyuarat tergempar Menteri Luar OIC

Sumber: BERNAMA
Mohamad Hasan (tengah) tiba bagi menghadiri mesyuarat tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri (CFM) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan perkembangan terbaharu berkaitan Palestin. - Foto BERNAMA
Advertisement

JEDDAH: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di Jeddah, Arab Saudi, pada Rabu bagi menghadiri Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan berlangsung hari ini.

Ketibaan Mohamad di King Abdulaziz International Airport, Jeddah, pada kira-kira 5.45 petang disambut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman.

Beliau kemudian dibawa bertemu warga kedutaan serta pegawai Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat sehari itu, yang antara lain akan membincangkan perkembangan terbaharu berkaitan Palestin, termasuk di Gaza, situasi di Tebing Barat serta peluasan penempatan haram Israel.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman sebelum ini berkata mesyuarat itu penting bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap tindakan dan pencerobohan Israel terhadap wilayah Palestin.

Beliau berkata Mohamad dijangka menyampaikan Kenyataan Negara bagi menegaskan kembali sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap perjuangan sah rakyat Palestin, serta hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967.

Mohamad juga dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari beberapa negara bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala, termasuk meneroka peluang baharu dalam bidang perniagaan, perdagangan dan pelaburan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement