Skip to main content

Malaysia

Mohamad Shawali dilantik Ketua Pengarah Jabatan Muzium

Mohamad Shawali mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan dasar, pembangunan institusi serta bidang permuziuman negara. --fotoBERNAMA
Mohamad Shawali mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan dasar, pembangunan institusi serta bidang permuziuman negara. --fotoBERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Mohamad Shawali Badi dilantik sebagai Ketua Pengarah JMM yang baharu berkuat kuasa esok.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Mohamad Shawali mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan dasar, pembangunan institusi serta bidang permuziuman negara. 

"Saya yakin pengalaman dan kepakaran beliau mampu memperkukuh kepimpinan JMM dalam mendepani cabaran serta keperluan permuziuman masa hadapan.

Advertisement

"Pelantikan ini diharap dapat memperkasakan peranan muzium sebagai institusi strategik dalam mengangkat naratif sejarah negara, memperkukuh identiti nasional dan membina jati diri bangsa selaras dengan agenda pembinaan negara bangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata pendekatan yang lebih segar, kreatif, interaktif dan berteraskan teknologi digital perlu diperkasakan supaya muzium menjadi ruang pembelajaran, penerokaan sejarah dan penghayatan warisan yang relevan kepada semua lapisan masyarakat.

Advertisement

Pada masa yang sama, Aaron berkata prestasi dan kecemerlangan institusi permuziuman negara perlu terus dipertingkatkan, khususnya dari aspek jumlah pengunjung, kualiti pameran, penyelidikan, pemuliharaan koleksi, pendigitalan khazanah serta kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Usaha ini penting bagi memastikan muzium Malaysia terus berkembang sebagai institusi ilmu, warisan dan tarikan kebudayaan yang berdaya saing," katanya.

Beliau berkata antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian ialah usaha penggubalan Rang Undang-Undang Muzium serta cadangan penubuhan Majlis Muzium Malaysia sebagai langkah memperkukuh kerangka perundangan, tadbir urus  dan penyelarasan ekosistem permuziuman negara. 

Aaron berkata kedua-dua agenda itu perlu diberikan tumpuan bagi memastikan pembangunan sektor permuziuman dilaksanakan secara lebih menyeluruh, tersusun dan mampan.

"Saya berharap pelantikan ini menjadi titik permulaan kepada anjakan baharu yang membawa institusi permuziuman Malaysia ke tahap lebih tinggi, bukan sahaja sebagai pusat pemeliharaan sejarah dan warisan, tetapi juga sebagai institusi yang menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta membentuk kefahaman masyarakat terhadap perjalanan pembinaan negara bangsa Malaysia.

"Saya turut menaruh harapan agar kepimpinan baharu JMM dapat menghidupkan budaya muzium dan mendekatkan institusi ini dengan rakyat, khususnya generasi muda," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement