Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap pembentangan Belanjawan 2019 esok akan memberi keutamaan kepada beberapa projek pembangunan di negeri ini meskipun kerajaan persekutuan berdepan dengan masalah kewangan.

Beliau berharap antara projek yang akan diberi perhatian termasuk pendidikan, keselamatan dan infrastruktur di Sabah.

"Walaupun negara menghadapi masalah kewangan dalam pembentangan belanjawan kali ini, tetapi kita berharap supaya projek yang penting akan diberi pertimbangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian pameran khas 'Dirgahayu Tuan Yang Terutama' dan 'Muzik Retro Sabah era 60-an dan 70-an' di Muzium Sabah, di sini hari ini.

Pameran itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie mahu kawalan keselamatan di kawasan perairan negara khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) dipertingkatkan bagi mengelak sebarang kejadian penculikan.

Beliau berkata rondaan di kawasan perairan itu bukan hanya memastikan keselamatan kepada pelancong asing tetapi juga masyarakat setempat.

Selasa lalu, laporan portal Marine Link menyatakan Pusat Perkongsian Maklumat (ISC) Pusat Perjanjian Kerjasama Wilayah Memerangi Lanun dan Rompakan Ke Atas Kapal Asia (ReCAAP) menerima maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina berkaitan aktiviti penculikan.

Berdasarkan maklumat itu, dianggarkan 10 ahli kumpulan Abu Sayyaf merancang untuk melakukan aktiviti penculikan di beberapa lokasi di Sabah.

-- BERNAMA