Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Negeri, di sini, hari ini.

Mohd Shafie tiba di perkarangan masjid pada jam 7.15 pagi diiringi isteri Datin Seri Shuryani Shuaib.

Ketibaan Mohd Shafie disambut oleh Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar.

Solat sunat Aidiladha itu diimamkan Imam Besar Masjid Negeri Suhaidi Kuanting, manakala khutbah disampaikan oleh Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar.

Sementara itu, rata-rata jemaah hadir di masjid berasa teruja kerana dapat menunaikan ibadah sunat berkenaan meskipun negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Seorang pesara kerajaan, Samie Andarsi, 60, berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan pihak pengurusan masjid dalam membolehkan masyarakat Islam di negeri ini menunaikan solat sunat tersebut.

Sementara itu, Madlan Salaman, 35, bersyukur kerana dapat menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid, selain turut berasa selamat menghadiri solat berjemaah itu dengan adanya amalan normal baharu.

Masjid Negeri Sabah mampu menampung sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa, namun, kehadiran jemaah pagi tadi adalah separuh daripada kapasiti ditetapkan bagi mengamalkan penjarakan sosial.

Sebelum ini, Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan untuk memperluaskan kebenaran pelaksanaan solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha sepanjang tempoh PKPKK

Bungsu, dalam satu kenyataan, berkata kebenaran terbabit membolehkan solat sunat Aidiladha dilaksanakan tanpa mengabaikan SOP ditetapkan.

-- BERNAMA