MALAYSIA
Mohd Shuhaily sahkan ditukar ke AKPS

Mohd Shuhaily mengesahkan laporan beliau ditukarkan ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), berkuat kuasa Isnin.
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ditukarkan ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), berkuat kuasa Isnin.
Perkata itu disahkan sendiri Mohd Shuhaily ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, hari ini.
Beliau, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai portfolio baharu yang akan disandangnya.
“Ya saya terima arahan pertukaran. Tunggu Majlis Serah Terima Tugas (mungkin) esok (Isnin),” katanya.Arahan pertukaran itu dikesan tular di laman media sosial, baru-baru ini.
Beliau yang memegang jawatan Pengarah JSJ sejak Ogos 2023 dijangka dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS sehingga 30 Jun 2027, menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali, 60, yang bersara Februari lalu.
Pada Ogos tahun lalu, tular dakwaan Mohd Shuhaily bakal dihantar ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai Ketua Pengarah baharu.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Razarudin Husain.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kumar S Muthuvelu pula dilaporkan bakal mengambil alih jawatan Mohd Shuhaily sebagai Pengarah JSJ.
Menerusi arahan pertukaran itu dua lagi nama turut diumumkan iaitu Superintenden Urus Setia KPN (Dasar Strategik) Cawangan Khas Bukit Aman bertukar ke jawatan Superintenden Komunikasi Korporat Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.
Dalam perkembangan berkaitan, Superintenden Komunikasi Korporat Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman, Superintenden Abd Rashid Abu Bakar, pula bertukar ke jawatan Superintenden Komunikasi Korporat (2), Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.
Arahan berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan jawatan Ketua Polis Johor yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan M Kumar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami