KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedia mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha mewujudkan peruntukan kepada penggiat seni perfileman bagi menghasilkan lebih banyak naskhah berkisar arena sukan negara pada masa akan datang.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata usaha itu bagi mengetengahkan elemen perpaduan dan memupuk semangat patriotisme terutamanya dalam kalangan generasi muda yang mampu memberi inspirasi buat mereka mengikuti jejak langkah ahli sukan berkenaan.

"Kita nak mohon kepada pihak kerajaan khususnya melalui kementerian berkaitan dan KBS untuk melihat bagaimana nak adakan satu peruntukan untuk mewujudkan mungkin satu tabung supaya membantu mereka yang berminat untuk menghasilkan filem melambangkan kejayaan (dalam) sukan.

"... saya rasa sokongan KBS itu ada, cuma kita nak cari jalan macam mana nak menstruktur (perancangan) tersusun untuk penggiat filem kita memberi perhatian dan mencari ilham untuk melahirkan skrip lebih berkualiti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri tayangan khas filem 'Gemencheh Boys' bersama persatuan sukan di sini malam tadi.

Gemencheh Boys yang mula ditayangkan pada 26 Okt lepas berdasarkan kisah benar sekumpulan budak kampung dari Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan yang digelar 'Enam Jahanam' tetapi berjaya menempa nama dalam sukan kriket hingga memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 dan mewakili negara di Piala Dunia Kriket 2019.

Mohamad Norza memaklumkan kejayaan bekas ratu tenpin boling Datuk Shalin Zulkifli, legenda skuasy Datuk Nicol David serta jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang mampu menghasilkan naskhah filem yang berkualiti seperti filem Lee Chong Wei: Rise of the Legend.

"Bagi saya sangat penting untuk kita sebagai penggiat sukan memberi sokongan padu kepada (filem) sukan yang berlatar belakang cerita kejayaan atlet-atlet kita bagaimana susah payah mereka untuk mencapai kejayaan sebab kalau bukan kita menyokong, siapa lagi yang nak sokong," katanya.

-- BERNAMA