MALAYSIA
MOT akan laksana pematuhan mandatori kenderaan berat - Loke

Loke berkata cabaran utama ialah pengubahsuaian peranti pengehad kelajuan selepas pemeriksaan, dan langkah tegas akan diambil untuk mengatasi isu ini. -Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan beberapa penguatkuasaan dan pematuhan mandatori melibatkan kenderaan berat bagi memperkukuh dasar keselamatan jalan raya. susulan kemalangan maut yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.
Ringkasan AI
- Susulan kemalangan maut melibatkan 15 pelajar UPSI, Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan penguatkuasaan mandatori terhadap pengehad kelajuan dan pemakaian tali pinggang keledar pada kenderaan berat.
- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan cabaran utama ialah pengubahsuaian (tampering) peranti pengehad kelajuan selepas pemeriksaan, dan langkah tegas akan diambil untuk mengatasi isu ini.
- MOT turut mempertimbangkan pemasangan kamera video dalam kenderaan berat dan mewajibkan pematuhan tali pinggang keledar oleh semua penumpang sebelum bas dibenarkan bergerak.
"Cabaran kita hadapi kebanyakannya buat 'tamper', iaitu mengubah suai dengan memasang ketika pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tetapi selepas itu mereka buang, ini yang kita nak lihat penguatkuasaan mandatori dan peraturan lebih tegas untuk pastikan tiada 'tampering'," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan CruiseWorld Malaysia 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Datuk Yeoh Soon Hin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai.
Mengulas lanjut, Loke berkata pihaknya mencari langkah untuk mengatasi isu kenderaan berat membuang pengehad kelajuan itu supaya tindakan tegas dan undang-undang dapat diambil oleh pihak berkuasa selepas ia diwajibkan.
Ketika ini wajib bagi bas baharu yang dikeluarkan mulai 2020 dan seterusnya mempunyai tali pinggang keledar untuk semua penumpang, namun bas yang terlibat dalam kejadian di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) semalam itu dibina pada 2013 dan tiada tali pinggang keledar.
"Walaupun wajib bagi bas baharu mempunyai tali pinggang keledar, cabarannya untuk memastikan pematuhan, sebab itu perlu laksana pematuhan mandatori kepada penumpang.
"Untuk kereta jika tidak memakai tali pinggang keledar akan mengeluarkan bunyi amaran jadi kita boleh mewajibkan pemandu bas untuk memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar atau bas tidak akan bergerak," katanya.
MOT juga akan meneliti kemungkinan memasang kamera video "on-board" pada kenderaan berat bagi meningkatkan keselamatan walaupun ia belum diwajibkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami