awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Masjid perlu kekal sebagai institusi penyebaran agama, ilmu - Zulkifli
Tiada isu dijangka timbul ketika Nik Faisal dilantik sebagai pemegang mandat akaun AmBank - Najib
Dua maut, dua lagi parah kemalangan di Lebuhraya Persekutuan
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

MOT kenal pasti tiga lokasi baharu hab bas ekspres KL-Singapura

Bernama
Bernama
21/01/2026
11:30 MYT
MOT kenal pasti tiga lokasi baharu hab bas ekspres KL-Singapura
Anthony Loke mencuba mesin tempahan tiket layan diri ketika mengadakan lawatan kerja ke Hab Pengangkutan Lalaport di Mitsui Shopping Park Lalaport Bukit Bintang City (BBCC) hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengenal pasti tiga pusat beli-belah utama di sekitar ibu negara untuk dijadikan hab pengangkutan awam, khususnya bagi perkhidmatan bas ekspres antara Kuala Lumpur-Singapura.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif bagi mengatasi isu bas ekspres berhenti di lokasi tidak berlesen itu bertujuan memastikan operasi dijalankan di kawasan yang lebih selamat, teratur dan sesuai, selain meningkatkan keselesaan penumpang serta mengurangkan kesesakan di pusat bandar.
Beliau berkata perkhidmatan bas ekspres bagi destinasi berkenaan telah lama dijalankan tetapi setakat ini bas-bas itu berhenti, mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dilesenkan seperti di hadapan pusat beli-belah Berjaya Times Square dan Corus Hotel, dua lokasi tumpuan di pusat bandar raya.
"Sejak beberapa bulan lepas, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil tindakan penguatkuasaan selain memberikan notis kepada syarikat-syarikat pengusaha supaya berpindah ke kawasan lebih selamat dan berlesen.
"Selepas mendengar maklum balas pihak terlibat, kita mengambil pendirian bahawa bas-bas ekspres ini perlu beroperasi di kawasan lebih sesuai dan selamat serta berhampiran lokasi tumpuan di pusat bandar raya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Hab Pengangkutan Lalaport yang terletak di Aras LG1, Mitsui Shopping Park Lalaport Bukit Bintang City Centre (BBCC), di sini hari ini.
Loke berkata selain hab pengangkutan Lalaport yang dijangka beroperasi bulan depan, pusat beli-belah lain yang dikenal pasti adalah One Utama di Petaling Jaya dan IOI City Mall Putrajaya, manakala Sunway Pyramid berada dalam senarai penilaian.
Beliau berkata kemudahan di Lalaport kini hampir lengkap dan berpotensi menjadi hab pertama yang dilesenkan, khususnya bagi perkhidmatan bas ekspres KL-Singapura, manakala kemudahan di tiga lokasi lain perlu dinaik taraf bagi memastikan keselamatan penumpang sebelum lesen operasi boleh dikeluarkan APAD.
"Saya amat berpuas hati melihat kemudahan seperti ini dapat disediakan, walaupun bukan satu terminal besar tetapi Lalaport menyediakan kemudahan yang selesa dan selamat kepada penumpang selain lokasinya yang diintegrasikan dengan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) serta Monorel melalui Stesen Hang Tuah," katanya.
Hab pengangkutan Lalaport mempunyai enam petak berlepas dan lima petak ketibaan serta direka bentuk bagi memudahkan pergerakan pengguna pengangkutan awam, khususnya pelancong, dengan penekanan kepada aspek keselamatan, kecekapan dan keselesaan.
Kemudahan utama lain yang disediakan termasuk sistem jualan tiket bersepadu, akses pertukaran ke perkhidmatan LRT dan Monorel serta perkhidmatan Bus On Demand (BOD) yang menghubungkan Lalaport dengan kawasan Bukit Bintang dan Mont Kiara.
Dalam pada itu, Loke berkata sebelum ini, MOT memberi tempoh kelonggaran selama tiga bulan kepada pengusaha bas ekspres KL-Singapura untuk kekal di lokasi sedia ada, iaitu di hadapan Berjaya Times Square dan Corus Hotel tanpa dikenakan saman, namun mereka akan diminta berpindah sebaik hab yang dikenal pasti bersedia sepenuhnya.
"Mereka perlu mematuhi peraturan dan hanya boleh beroperasi di lokasi yang telah dilesenkan. Ini bukan soal paksaan untuk beroperasi dari Terminal Bersepadu Selatan atau Terminal Bersepadu Gombak, tetapi soal keselamatan dan pematuhan undang-undang," katanya.
Pada 2 Nov lepas, APAD mengesahkan operasi perkhidmatan bas ekspres Aeroline digantung sebulan bermula 6 Nov hingga 5 Dis, susulan syarikat bas ekspres milik Zulco Sdn Bhd itu didapati menyalahgunakan lesen bas ekspres dengan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#MOT
#Anthony Loke
#Aeroline
#bas KL-Singapura
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan