KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mengumumkan pelantikan lima ahli Jawatankuasa Penasihat Digital (JPD) yang akan menyumbang kepakaran bagi memperkasa inisiatif pendigitalan.

Dalam satu kenyataan MOT berkata, JPD akan memperkasa inisiatif tersebut dari segi kestabilan perkhidmatan, keselamatan siber dan pengalaman pengguna.

"JPD akan berkhidmat secara pro bono tanpa sebarang kos kepada kerajaan.

"Lima anggota JPD ini berpengalaman luas dalam bidang teknologi dan transformasi digital, merangkumi pelbagai sektor termasuk pentadbiran, pengawalseliaan, perbankan, telekomunikasi dan keselamatan siber," menurut kenyataan itu.

Tambahnya, JPD tersebut bersidang untuk kali pertama semalam, dengan kehadiran Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Ahli-ahli jawatankuasa itu adalah Datuk Mohamed Sharil Tarmizi (Pengerusi), Chu Hong Keong, Datuk Dr Suhazimah Dzazali, Fong Choong Fook dan Afzal Abdul Rahim.

Mohamed Sharil Tarmizi

* Pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dari 2011 sehingga 2014.

* Kini Ahli Pihak Berkuasa dalam Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

* Pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah Internet Corporation for Assigned Names and Numbers (ICANN) yang merupakan badan penyelarasan antarabangsa bagi nama domain internet.

* Turut terlibat dalam inisiatif reformasi pengawalseliaan bersama pelbagai organisasi antarabangsa.

Chu Hong Keong

* Mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam industri perbankan dan telekomunikasi dengan kepakaran dalam teknologi perbankan, e-perniagaan, transformasi digital dan pengurusan anti-penipuan.

* Pernah berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif Kanan Strategi dan Transformasi di sebuah bank antarabangsa utama dan Pengarah Urusan di sebuah syarikat kumpulan ICT utama di Malaysia.

Suhazimah Dzazali

* Berkhidmat selama 35 tahun sebagai penjawat awam sehingga 2020.

* Pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (ICT) dan Ketua Pegawai Maklumat Kerajaan (GCIO) di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

* Memainkan peranan penting dalam penyediaan Pelan Strategik ICT Sektor Awam 2016-2020 dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021- 2025.

Fong Choong Fook

* Pengerusi Eksekutif LGMS Berhad, sebuah syarikat tersenarai keselamatan siber yang utama di Malaysia.

* Bekerjasama dengan pelbagai agensi pengawalseliaan di seluruh dunia mengenai keselamatan sistem maklumat dan telah memberi latihan kepada pelanggan kerajaan dan syarikat multinasional mengenai prosedur keselamatan, ujian penembusan dan siasatan forensik jenayah komputer.

Afzal Abdul Rahim

* Usahawan teknologi yang kini berkhidmat sebagai Commander-in-Chief TIME dotCom dengan pengalaman dalam telekomunikasi dan pusat data.

* Pasukannya terlibat membantu kerajaan dalam pelbagai inisiatif awam.

* Pengasas Malaysian Internet Exchange (MyIX).