KUALA LUMPUR: Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan atau Tourism Licensing And Enforcement System (TOURLIST), sebuah platform digital untuk memudah cara permohonan lesen industri pelancongan dalam talian secara menyeluruh, dilancarkan secara rasmi pada Selasa.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah automasi permohonan pendaftaran dan penggredan hotel dan spa serta kelulusan automatik permohonan pengecualian pemandu pelancong.

Beliau berkata perkhidmatan lain ialah pengeluaran lesen secara janaan komputer, pemantauan aduan yang efisien, serta pembayaran secara dalam talian.

"Capaian Sistem TOURLIST ini boleh diakses di mana-mana, baik di laman web atau aplikasi mudah alih, yang disuaipadankan dengan perkembangan teknologi.

"Pengurusan data Industri Pelancongan dalam sistem TOURLIST juga dilengkapkan dengan ciri-ciri kepintaran perniagaan melalui perisian RapidMiner," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran TOURLIST di sini, hari ini.



MOTAC-TOURLIST 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Pada 9 Nov lepas, platform TOURLIST yang merupakan projek di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mula dibuka bagi menggantikan Sistem Pelesenan Industri Pelancongan (SPIP).

Khairul Firdaus berkata sejak TOURLIST mula go-live atau beroperasi dalam talian, sebanyak 6,256 aduan diterima dan daripada jumlah itu, 98.8 peratus berjaya diselesaikan dengan aduan yang masih aktif hanya berbaki 74 aduan atau 1.2 peratus sahaja.

"Kebanyakan aduan lebih kepada masalah kualiti data memandangkan data ini dimigrasi daripada sistem lama. Aduan-aduan ini boleh dikatakan pada paras boleh ditangani dan dijangka dapat dikurangkan lagi dengan kerjasama semua pihak.

"TOURLIST juga telah merekodkan hasil yang sangat memberansangkan iaitu sebanyak RM2.1 juta dengan jumlah transaksi sebanyak 18,082 kali setakat suku tahun kedua 2023. Rekod ini menunjukkan trend hasil meningkat berbanding pada 2022 dan 2021. Dijangkakan kutipan hasil bagi tahun ini akan terus meningkat mengatasi kutipan hasil dari tahun sebelum ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata TOURLIST juga berfungsi sebagai platform digital pengurusan aktiviti penguatkuasaan industri pelancongan yang berintegrasi dengan agensi lain seperti Biro Pengaduan Awam; Jabatan Pengangkutan Jalan; Polis Diraja Malaysia; Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia; Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi penguatkuasaan berkaitan.

Beliau berkata sepanjang 2022 sebanyak 393 penguatkuasaan dengan 71 notis pemeriksaan dikeluarkan kepada pengusaha pelancongan seluruh Malaysia manakala dalam tiga bulan pertama 2023, 113 penguatkuasaan dicatatkan dengan 69 notis pemeriksaan.

-- BERNAMA