KUCHING: Ketika media sosial semakin dipenuhi kandungan pantas tular yang belum tentu sahih, Institut Akhbar Malaysia (MPI) memilih “melawan api dengan api” dengan melahirkan wartawan pempengaruh berwibawa.
Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, wartawan profesional boleh menjadi pempengaruh berwibawa tanpa mengorbankan fakta dan etika kewartawanan.
“Ramai wartawan muda di lapangan kini pantas menghasilkan liputan dan laporan yang melalui proses semakan fakta kerana mereka sedar tanggungjawab dipikul terhadap diri sendiri, majikan serta pengguna berita.
“Sudah tiba masanya wartawan memperkukuh peranan mereka dan berpegang teguh pada kepakaran dimiliki untuk menyampaikan sesuatu isu, berbanding menjadi ‘pemerhati maklumat’ semata-mata. Kita melawan api dengan api tetapi dengan cara bertanggungjawab,” katanya kepada Bernama.
Yong berkata, langkah itu bukan bertujuan menjadikan wartawan mengejar populariti atau jumlah pengikut, sebaliknya, memastikan kandungan berita mereka mendapat perhatian ramai dengan sumber yang boleh dipercayai.
Beliau berkata, kemajuan teknologi digital sejak beberapa tahun kebelakangan ini membolehkan sesiapa sahaja menyiarkan maklumat.
“Kita tidak dapat menghalang orang ramai daripada mendapatkan maklumat daripada pempengaruh… di sinilah literasi media memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat Malaysia yang lebih peka dan berinformasi.
“Kecekapan literasi media perlu dipertingkatkan agar mereka yang mengakses berita dan maklumat dapat mengenal pasti saluran media sahih serta memahami naratif dihasilkan, dicipta atau dimanipulasi individu bukan media yang sekadar mahu menarik perhatian atau menambah pengikut,” katanya.
Beliau berkata, MPI akan mendapatkan maklum balas daripada pelbagai organisasi media arus perdana dan media alternatif serta berinteraksi dengan pihak berkuasa berkaitan dalam usaha membezakan siapa sebenarnya pengamal media sahih.
“Usaha ini bertujuan membantu membezakan siapa sebenarnya pengamal media sahih dan siapa pula pempengaruh yang sekadar mengumpulkan maklumat daripada sumber media tulen.
“Apabila usaha ini dilaksanakan, akan wujud pembezaan dan pengiktirafan lebih jelas, sekali gus membolehkan profesional media lebih dihargai masyarakat,” katanya.
Selain itu, Yong berkata, MPI juga akan mendekati pemain aktif dalam ruang media sosial.
“Terdapat ramai penghasil kandungan media sosial yang bertanggungjawab dan beretika. Namun, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak dapat membezakan pelaporan yang dilakukan secara bertanggungjawab dengan pelaporan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Yong berkata, MPI akan terus menjadi penghubung antara kerajaan dan industri media bagi memperkasa wartawan Malaysia yang bukan sahaja mampu bersaing di platform digital, malah boleh membawa kisah Malaysia ke pentas antarabangsa.
-- BERNAMA