SHAH ALAM: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menafikan terdapat unsur salah guna kuasa atau rasuah dalam menjalankan penguatkuasaan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

PBT itu dalam satu kenyataan menegaskan pihak MPK sentiasa menjunjung tinggi etika dan integriti dalam melaksanakan tugas malah tidak berkompromi dalam isu salah guna kuasa oleh kakitangannya.

“Pihak MPK juga mengalu-alukan sebarang aduan berkaitan salah laku kakitangan oleh mana-mana pihak termasuk pempengaruh media sosial,” menurut MPK menerusi kenyataan di laman Facebooknya.


PBT itu turut memaklumkan orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan salah laku kakitangannya menerusi e-mel [email protected] atau hubungi talian 03-3375 5555 sambungan 4116.

Kenyataan dibuat susulan penularan satu artikel di media sosial menerusi blog ‘The Corporate Secret’ yang menyiarkan penulisan bertajuk ‘Doshin Rubber, Anak Syarikat Kossan bayar rasuah elak Tindakan Majlis Perbandaran Klang?’

PBT itu menegaskan terdapat kenyataan berbaur fitnah dalam artikel tersebut.

MPK sehubungan itu menegaskan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah boleh menjatuhkan imej dan nama baiknya.

“Phak MPK telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berkenaan artikel ini.

“Ia disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, ” kata kenyataan. -Sinar Harian