KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan kepada kerajaan untuk membuka sempadan negara dengan selamat termasuk bagi tujuan pelancongan kepada warga asing yang lengkap vaksinasi COVID-19.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MPN turut mencadangkan agar kerajaan memansuhkan atau memendekkan tempoh kuarantin kepada warga asing yang tiba dari luar negara.

Jelas beliau, pendekatan pengurangan atau pemansuhan tempoh kuarantin itu dibuat melalui program 'mutual recognition of vaccine certiļ¬cate' termasuk untuk tujuan pelancongan sepertimana yang telah dilaksanakan di beberapa negara lain bagi merancakkan semula pelbagai sektor ekonomi.

"Saya dimaklumkan ia akan dibincangkan dan dipertimbangkan oleh kerajaan dalam mesyuarat hari ini, bukan di bawah majlis ini tetapi di bawah jawatankuasa, yang saya kira dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

"Jadi, kita harap mungkin akan memutuskan apa yang telah saya sebutkan tadi, kerana pembukaan sempadan antarabangsa ini kita telah timbang lama dan dikira sudah sampai masa selepas kebenaran rentas daerah dan negeri.

"Yang ditunggu-tunggu sama ada sempadan negara boleh dibuka untuk warga Malaysia ke luar negara untuk beberapa peraturan tetapi tidak menyulitkan.

"Pelawat-pelawat asing baik perniagaan atau pelawat sosial dan pelancong boleh datang ke negara kita bila mana mereka telah dapat menyempurnakan dua dos vaksin dan sijil digital yang diguna pakai diiktiraf," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) keempat di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, mesyuarat dimulakan dengan sesi taklimat daripada Menteri Kesihatan (KKM), Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan terkini indikator-indikator COVID-19.

Mengulas lanjut, secara keseluruhan Muhyiddin berkata MPN berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai khususnya dari segi penurunan kes-kes positif harian, penggunaan katil-katil wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi merawat pesakit COVID-19, dan kadar vaksinasi populasi dewasa yang telah mencapai 95 peratus ketika ini.

Justeru, beliau menambah MPN berharap proses pembukaan sempadan negara yang merupakan aspek penting dalam usaha pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan segera, dan selamat.

“Ini satu perkembangan positif dalam proses pembukaan sempadan negara yang saya pasti akan merancakkan semula kegiatan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa, peruncitan dan lain-lain, di samping mempermudahkan urusan pelawat perniagaan dan pelawat sosial untuk datang ke negara kita," ujarnya lagi.