Skip to main content

Malaysia

MPNPs ada insurans liabiliti bagi kerosakan kenderaan akibat pokok tumbang

Pada 12 September 2026, kira-kira jam 3.30 petang, telah berlaku satu kejadian pokok tumbang di Taman Sena Indah, Kangar yang telah menghempap dan melibatkan dua buah kenderaan persendirian, iaitu Perodua Alza dan Perodua Ativa. -- FB Majlis Perbandaran Negeri Perlis
Pada 12 Sept 2026, kira-kira jam 3.30 petang, berlaku kejadian pokok tumbang di Taman Sena Indah, Kangar yang telah menghempap dan melibatkan dua buah kenderaan persendirian. - FB Majlis Perbandaran Negeri Perlis
Advertisement

KANGAR: Majlis Perbandaran Negeri Perlis (MPNPs) mempunyai perlindungan insurans liabiliti yang boleh digunakan bagi tuntutan kerosakan dua kenderaan persendirian dihempap pokok tumbang di Taman Sena di sini, semalam.

Yang Dipertua MPNPs Affendi Rajini Kanth berkata ia tertakluk kepada jenis polisi dan perlindungan yang diambil melibatkan kereta jenis Perodua Alza dan Ativa dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata skop kawasan terlibat untuk tuntutan adalah seluruh kawasan penyelenggaraan majlis perbandaran itu, iaitu kawasan awam atau rezab yang berada di bawah penyelenggaraan atau pengurusan pihaknya.

"Kejadian ini boleh dikategorikan sebagai bencana alam dan walaupun tidak melibatkan kehilangan nyawa, ia menyebabkan kerosakan kepada dua kenderaan yang terlibat," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Affendi berkata kejadian itu dipercayai berlaku akibat faktor alam sekitar, termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu sehingga menyebabkan pokok berkenaan mengalami kegagalan struktur dan tumbang secara tiba-tiba.

Beliau berkata sejurus menerima maklumat kejadian, staf Jabatan Landskap, Pelancongan dan Seni Taman MPNPs dikerahkan ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan awal serta mengalihkan bahagian pokok yang tumbang.

"Kerja cantasan terhadap dahan yang patah dan berisiko serta pembersihan kawasan turut dilaksanakan bagi memastikan laluan berada dalam keadaan selamat," katanya.

Affendi berkata pemeriksaan visual turut dilakukan terhadap pokok berhampiran, manakala dokumentasi melalui rekod dan gambar disediakan untuk tujuan laporan serta rujukan lanjut.

Beliau berkata penilaian teknikal oleh arboris atau pakar terlatih wajar dilaksanakan bagi mengenal pasti punca serta keadaan struktur pokok, di samping menentukan tindakan bersesuaian terhadap pokok yang berisiko.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement