Kemudahan kereta kabel yang sepatutnya siap dibina di Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves pada bulan ini, didapati tidak sesuai dibina di kawasan tersebut.

Ini adalah penemuan dalam laporan awal daripada perunding yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS ) untuk menjalankan kajian kestabilan tanah di sekitar kuil itu.

Yang Dipertua MPS, Mohd Azizi Mohd Zain berkata laporan awal yang dibentangkan pada Khamis lepas semasa suatu mesyuarat yang dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor ( MTEN ) dan wakil-wakil MPS , mendapati kawasan-kawasan tertentu di sekitar kuil itu tidak stabil.

Batu Cave Cable Car
"Projek kereta kabel itu terdiri daripada dua stesen iaitu stesen bawah berhampiran kaki tangga kuil itu dan stesen atas berhampiran puncak bukit yang menempatkan kuil Sri Subramaniar.

“Laporan awal mendapati stesen bawah itu adalah stabil manakala stesen atas tidak stabil. Sekiranya kereta kabel itu dibina di atas tanah yang tidak stabil, ia mungkin akan menjejaskan keselamatan awam,” katanya kepada Astro AWANI.

Mohd Azizi berkata MPS kini masih sedang menunggu pembentangan laporan penuh kajian kestabilan tanah sebelum mengemukakan cadangan pembinaan kepada kontraktor kuil tersebut.

MPS menghentikan kerja pembinaan projek kereta kabel itu pada 6 Jun kerana beberapa struktur pembinaan di sekitar Batu Caves dikatakan dibina tanpa kelulusan kebenaran merancang.

Struktur-struktur tersebut termasuklah patung Dewa Murugan 140 kaki dan 272 tangga kuil itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam Datuk R. Nadarajah sebelum ini berkata MPS tidah seharusnya menghentikan kerja pembinaan projek kereta kable itu secara tiba-tiba kerana sebelum ini, projek itu telahpun diluluskan oleh pihak yang sama.

Walaubagaimanapun, Nadarajah memberitahu Astro AWANI, pihak pengurusan kuil itu telah mengemukakan pelan bangunan untuk kira-kira 20 struktur pembinaan di kawasan itu termasuk tangga kuil, seperti yang dikehendaki oleh MPS.

Mohd Aziz Mohd Zain

“Kami telah mengemukakan pelan pembangunan kepada MPS lebih kurang empat ke lima bulan lepas. Sehingga hari ini, tiada apa-apa jawapan daripada MPS. Kami masih sedang menunggu untuk jawapan mereka supaya kami boleh meneruskan projek ini.

“Mereka perlu ingat bahawa ini bukan projek kuil atau projek saya. Ini projek rakyat.

“Sekiranya mereka hendak kami berhenti membina kereta kable ini, kami akan berbuat demikian, tetapi, ini untuk rakyat,” katanya.

Semasa menjawab kata-kata Nadarajah, Mohd Azizi mengesahkan bahawa MPS telah menerima pelan pembangunan daripada pengurusan kuil tersebut, tetapi MPS tidak boleh mengambil apa-apa tindakan susulan sehingga laporan penuh kajian kestabilan tanah dibentangkan.

“"MPS tidak pernah berniat untuk menghentikan projek kereta kabel ini. Ini bukan soal kemudahan yang dinafikan kepada rakyat. Ini adalah soal keselamatan awam, "kata Mohd Azizi.

Kereta kabel itu dijadualkan untuk disiap pada bulan ini, sempena perayaan Thaipusam yang jatuh pada 17 Jan.

Projek yang bernilai RM10 juta, telah dikontrakkan kepada syarikat yang berpangkalan di Calcutta, Damodar Ropeways.