Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dijadualkan pada 31 Julai ini dibatalkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan berkata, pada masa sama majlis perjumpaan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bersama pemimpin bahagian serta majlis sambutan hari raya bersama kepimpinan UMNO turut dibatalkan.

"Adalah dimaklumkan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dijadual akan diadakan pada 31 Julai ini dibatalkan. Saya memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul," katanya di sini, hari ini.

Kedua-dua majlis tersebut dijadualkan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 31 Julai ini.

Sebelum ini difahamkan, mesyuarat MT yang akan diadakan pada Jumaat, antara lain bagi membincang dan sesi penerangan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mesyuarat MT itu juga disifatkan penting bagi membincangkan isu berkaitan keputusan rombakan Kabinet pada Selasa yang menyaksikan beberapa nama digugurkan antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Muhyiddin dan Shafie masing-masing masih memegang jawatan tertinggi UMNO iaitu Timbalan Presiden UMNO dan Naib Presiden UMNO.