MACHANG: Agensi Nuklear Malaysia sedang menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan varieti tanaman dengan ciri-ciri lebih baik, termasuk ubi kayu yang mampu dituai dalam tempoh lebih singkat berbanding varieti asal, menerusi penggunaan sinaran gama.
Pengarah Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Agensi Nuklear Malaysia Dr. Zaiton Ahmad berkata teknologi itu digunakan untuk mengaruh perubahan genetik pada tanaman sebelum melalui proses penyaringan bagi mengenal pasti varieti yang mempunyai ciri-ciri dikehendaki.
Beliau berkata selain ubi kayu, penyelidikan menggunakan teknologi berkenaan turut melibatkan tanaman padi, pisang, rumput napier, keladi, kenaf serta bunga-bungaan.
“Bagi ubi kayu, kita mahu mendapatkan hasil yang tinggi dan tempoh matang yang lebih singkat, manakala padi pula disasarkan mempunyai hasil tinggi serta ketahanan terhadap penyakit, banjir dan kemarau.
“Bagi rumput napier, kita mahu meningkatkan penghasilan biojisim yang banyak serta kandungan protein lebih tinggi untuk ternakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Zaiton berkata proses penyaringan dilakukan bagi memilih tanaman yang menunjukkan perubahan genetik dengan ciri-ciri dikehendaki, manakala varieti yang tidak memenuhi kriteria tidak akan diteruskan untuk pembiakan.
Mengulas persepsi masyarakat terhadap keselamatan makanan yang dihasilkan menerusi teknologi nuklear, beliau berkata tanaman yang disinarkan tidak menjadi radioaktif kerana proses itu hanya mendedahkan tanaman kepada sinaran mengion.
Beliau berkata kaedah berkenaan tidak menjadikan tanaman radioaktif, sekali gus membetulkan salah faham sesetengah masyarakat yang menganggap hasil pertanian menggunakan teknologi nuklear tidak selamat untuk dimakan.
“Ramai yang keliru apabila mendengar istilah ubi kayu nuklear kerana mereka menyangka tanaman itu menjadi radioaktif, sedangkan ia hanya menerima sinaran untuk mengaruh perubahan genetik,” katanya.
Beliau berkata penyelidikan dan pembangunan varieti tanaman baharu itu turut berdepan cabaran, khususnya dari segi stigma masyarakat serta keperluan dana yang besar untuk menjalankan kajian.
Beliau berkata ubi kayu yang sedang dikaji itu berpotensi untuk didaftarkan sebagai varieti baharu di Malaysia, manakala rumput napier mutasi pula dalam proses ujian ladang dengan kerjasama syarikat ternakan tempatan.
Bagaimanapun, katanya varieti padi yang dihasilkan menerusi teknologi berkenaan telah didaftarkan dan dikomersialkan.
Zaiton berkata kerjasama dengan syarikat berkaitan penting bagi membolehkan varieti yang dikenal pasti sesuai melalui proses penyelidikan diperluas penggunaannya untuk manfaat sektor pertanian.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik Agensi Nuklear Malaysia Mustapha Akil berkata penyelidikan varieti ubi kayu yang dihasilkan menerusi teknologi sinaran gama dimulakan sejak 2021 dan masih diteruskan bagi memastikan varieti berkenaan mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki sebelum dapat dikomersialkan.
Beliau berkata penyelidikan itu menggunakan varieti ubi kayu putih sebagai tanaman asal, dengan sinaran gama dikenakan sekali sahaja pada keratan batang sebelum ditanam dan melalui beberapa generasi pembiakan serta melalui proses penyaringan dan pemilihan.
“Berdasarkan penyelidikan setakat ini, kita mendapati hasilnya sangat tinggi, boleh mencapai sehingga 198 peratus berbanding varieti asal atau kawalan.
“Pada masa sama, tempoh tuaian dapat dipendekkan daripada 11 hingga 12 bulan kepada enam bulan,” katanya sambil menambah penyelidikan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Jabatan Pertanian dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Mustapha berkata pencapaian itu diperoleh menerusi teknik pembiakbakaan mutasi (mutation breeding) yang mengaruh perubahan genetik pada tanaman bagi menghasilkan ciri-ciri lebih baik.
Beliau berkata dari segi ciri fizikal, ubi kayu berkenaan setakat ini kelihatan sama seperti varieti asal dengan perbezaan utama terletak pada hasil pengeluaran dan tempoh matang.
Mustapha berkata varieti berkenaan masih dalam peringkat penyelidikan dan belum boleh dipasarkan, dengan tempoh dua tahun lagi menjadi sasaran untuk diperkenalkan secara lebih meluas, tertakluk kepada hasil kajian dan proses berkaitan.
--BERNAMA