HARI ini genap dua bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sajikan pelbagai warna dilangsungkan.

Rakyat meletakkan banyak harapan. Banyak perkembangan sudah mula diharungi rakyat, malah setiap pemegang taruh, dengan pelbagai tanggapan dan penilaian.

Sudah pasti, salah satunya ialah bayaran Bantuan Awal Persekolahan yang disalurkan mulai kelmarin, secara berperingkat-peringkat, di semua sekolah di seluruh negara. Bayaran RM150 kepada semua murid tanpa melihat had pendapatan ibu bapa.

Skim-skim seperti ini sangat penting. Amat dinantikan oleh mereka yang memerlukan ketika kos sara hidup terus menjadi satu beban.

Kerajaan perlu menyediakan lebih bantuan seperti ini, dasar dan program bagi mengurangkan beban kewangan dalam kalangan rakyat jelata, terutama kumpulan B40 dan M40.

Terima kasih atas tindakan segera bagi merealisasikan pembayaran skim BAP.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat bulan lalu, ketika sidang khas susulan PRU15, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu akan disalurkan mulai Januari.

Meskipun BAP dicadangkan oleh kerajaan sebelum ini menerusikan Belanjawan 2023 yang dibentangkan sebelum PRU15, ia akan diteruskan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyalurkan BAP  bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023.

Beliau berkata, adalah penting untuk mempersiapkan murid dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya, selain keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembelian buku teks.

BAP diperkenalkan pada 2012 untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga terutamanya pada awal tahun.

Sebelum ini, bantuan ini diberikan kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya daripada kalangan keluarga yang berpendapatan Isi Rumah Kasar RM3,000.00 dan ke bawah.

Dalam Belanjawan 2023, Kerajaan telah mengumumkan menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 untuk semua murid, tanpa mengira had pendapatan dan usul ini diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di sebalik proses pembayaran kita dikejutkan dengan insiden kehilangan wang sebanyak RM109,000, yang dikeluarkan oleh seorang guru besar dan ditinggalkan di kereta sementara dia singgah untuk membeli minuman.

Ia satu berita menyedihkan bagi semua termasuk guru besar berkenaan dan sekolah dia berkhidmat, dan juga Kementerian Pendidikan (KPM). Cermin lereta guru terbabit dilaporkan dipecahkan dan wang berkenaan dilarikan.

Banyak teori diketengahkan. Pelbagai spekulasi juga muncul.

KPM mengesahkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP). Menterinya, Fadhlina Sidek yang dilantik lima minggu lalu berkata, berdasarkan SOP yang ditetapkan, wang tunai melebihi RM10,000 mesti dibawa dengan dua pengiring atau polis.

Ia satu ujian di bawah kepimpinan beliau, KPM dilaporkan mengambil serius dengan kejadian yang berlaku dan sedang menunggu laporan siasatan daripada pihak polis, tindakan lanjut akan dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Memandangkan skim ini sudah diperkenalkan sejak satu dekad lalu, kaedah pembayaran perlu dibaiki dan seharusnya telah ditambah baik dari semasa ke semasa, bukan sahaja bagi mengelakkan insiden kehilangan wang yang dikeluarkan dari bank dan beban tambahan di pihak polis, malah perlu untuk tidak menyukarkan ibu bapa dan penjaga yang bekerja, dan yang tinggal jauh.

Isu ini menarik perhatian untuk dikupas. Antara lain anak saya juga salah seorang daripada jutaan murid yang berpeluang menikmati manfaat ini.

Berdasarkan pekeliling dikeluarkan sekolah anak saya, satu tempoh tertentu, iaitu sejam mengikut setiap tahun pembelajaran dan persekolahan, untuk ibu bapa dan penjaga hadir secara fizikal bersama MyKad untuk mengutip bayaran. Bagi murid sekolah menengah, dipercayai dibayar kepada murid sendiri.

SOP kaedah pembayaran hampir sama di semua sekolah. Malah guru besar sendiri rasa terbeban.

Saya percaya tidak ramai ibu bapa dan penjaga yang boleh hadir untuk mengambil wang yang dibayar dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Ada yang terpaksa tinggalkan pejabat dan kerja masing-masing.

Pihak kementerian dan sekolah dan bank boleh bekerjasama dalam proses menguruskan bayaran dalam talian.

Dalam era digital dan kemajuan teknologi maklumat, kita mempunyai pelbagai kaedah, pendekatan dan platform untuk tujuan tersebut. Sekali lagi kita terlepas pandang.

Kita kembali ke era sebelum COVID-19. Ekoran impak pandemik yang membadai global sejak tiga tahun lalu, semua pihak membicarakan penggunaan kaedah bukan fizikal atau bukan secara bersemuka untuk tujuan transaksi kewangan. Adakalanya kita dipaksa menerima kaedah baharu.

Saya pernah berkhidmat di KPM. Saya pasti KPM ada kaedah inovatif yang boleh mempermudahkan dan menjamin kelancaran proses bayaran.

Anehnya kita terlepas pandang akan kaedah-kaedah terbaik, yang relevan dengan persekitaran semasa, dalam aspek bayaran BAP.

Ada orang mengatakan bayaran atas talian akan melibatkan caj pengurusan bank. Saya tidak pasti sejauh mana ia akan melibatkan caj bank. Jika benar ia melibatkan caj pengurusan bank, inilah masa bagi pihak bank mengamalkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk berganding dengan kerajaan bagi membantu meringankan beban rakyat.

Meskipun dilanda COVID-19, sektor perbankan dan kewangan dilaporkan terus mencatatkan keuntungan. Tidak pernah mengalami kerugian. Malah, juga tidak sukar bagi pihak sekolah untuk mendapatkan butiran akaun bank ibu bapa atau penjaga dan disalurkan kepada bank untuk tindakan susulan.

Kementerian Kewangan dan Bank Negara juga mempunyai peranan seimbang yang penting dalam soal ini.

Adakalanya ketika kita hendak ke depan dalam mengadaptasikan kelebihan kemajuan teknologi, kita juga ke belakang sama ada sedar atau sebaliknya. Kaedah bayaran dan penerimaan bantuan kewangan adalah salah satunya.

Juga bayaran BAP juga tidak perlu disegerakan pada bulan Januari seperti sekarang. Ya, berbanding era sebelum COVID-19, sesi baharu persekolahan hanya akan dibuka pada bulan Mac.

KPM seharusnya telah mengarahkan pihak sekolah menggunakan peruntukan BAP untuk ibu bapa atau penjaga membeli kelengkapan sekolah dari koperasi sekolah dengan harga lebih murah apabila sekolah dibuka semula kelak. Ibu bapa atau penjaga pula tidak perlu datang ke sekolah berulang kali.

Malah, tidak lama lagi pihak sekolah juga akan mengedarkan kad laporan Penilaian Bilik Darjah (PBD). Kesempatan itu juga boleh digunakan.

Ataupun, dalam keadaan terdesak, guru kelas boleh menyalurkan bayaran kepada setiap kanak-kanak pada sesi akhir pembelajaran mana-mana hari agar tidak wujud isu keciciran wang dan sebagainya, sekali gus akan mendidik murid akan pengurusan kewangan dari kecil lagi. Ada banyak cara dinamik dan sesuai mengikut keadaan untuk diterokai.

Kita ada banyak cara. Sama-sama kita memikirkan pendekatan terbaik dan berimpak tinggi di luar garisan sosiopolitik.

Memandangkan saya tidak dapat ke sekolah anak saya hari ini untuk menerima bayaran BAP, untuk hadir secara fizikal disebabkan urusan pejabat, dan oleh kerana saya juga merasakan ada murid yang lebih layak memerlukan BAP kali, saya telah meminta pihak sekolah supaya menyalurkan peruntukan anak saya ke dana sekolah dan membantu mereka yang memerlukan.

Saya pun telah memaklumkan anak saya, selaku penerima manfaat, mengenai keputusan ini, dan dia terima dengan hati terbuka untuk membantu yang lain.

Semoga Kerajaan Perpaduan akan ada lebih banyak bantuan seperti BAP untuk terus membantu rakyat di semua lapisan.


* Dr G Manimaran merupakan perunding media dan komunikasi serta penganalisis pilihan raya

** Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI