KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan mengurniakan Watikah Gelaran Seniman Diraja kepada kartunis tersohor negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat.

Sultan Nazrin mengurniakan watikah itu kepada Lat pada istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67 di Balairong Seri Istana Iskandariah, di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pada 8 Julai lepas, ketika berangkat merasmikan Galeri Rumah Lat di Batu Gajah, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Lat gelaran sebagai Seniman Diraja.

Anugerah gelaran itu bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan besar lagi bermakna oleh seniman agung itu dalam memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.

Terdahulu, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengetuai senarai 24 penerima darjah kebesaran serta pingat negeri Perak pada sesi pertama hari ini, iaitu sebahagian daripada 238 penerima yang diumumkan pada Jumaat lepas.

Dilantik sebagai Mufti Perak pada 1 Ogos 2022, Wan Zahidi, 81, dikurniakan Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menerima Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Pegawai Kewangan Negeri Perak, Mohd Zaki Mahyuddin menerima Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk, manakala 14 penerima dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) turut membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Muzafar Shah Mustafa, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan yang juga bekas Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye.

Turut menerima darjah berkenaan ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak, Ir Hamdan Ali; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Mohamad Fauzi Mahson; Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid; Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Nor Eni Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Yahanis Yahya.

Menerima darjah sama ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk S.M. Komathy Suppiah yang sepatutnya menerima darjah berkenaan pada tahun lepas.

Penerima lain termasuk Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas, Profesor Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Presiden Persatuan Hoki Perak, Mohd Saiyuti Abd Samat; Ketua Pegawai Eksekutif CST Auto Group Of Companies, P. Chandrasekaran dan bekas Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein.

Lima individu menerima Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Brig Jen Sr Dr Mohd Zambri Mohamad Rabab; Ketua Perhubungan Antarabangsa Urus Setia Ketua Polis Negara, SAC R. Suparamaniam; Inspektor Jeneral Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Muda Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin; bekas Ketua Pengarah Kesihatan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia Brig Jen (B), Dr Leong Weng Foon dan Panglima Briged Kedua Infantri, Brig Jen Asri Shukor.
- BERNAMA