SEREMBAN: Seluruh keluarga Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril masih terkejut dan berdukacita dengan pemergian remaja itu yang disifatkan sebagai seorang anak yang pendiam, tenang serta tidak pernah mencari masalah dengan sesiapa.
Bapa saudara mangsa, Kamaruddin Ngatimon, 49, berkata, pemergian anak saudaranya itu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang yang baik dan penyayang.
Menurutnya, Muhammad Idlan yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik sentiasa mengambil berat serta menyayangi adik-adiknya.
“Setiap kali outing atau pulang ke rumah, dia mesti telefon saya untuk minta dibawa membeli barang keperluan sekolah.
“Kali terakhir saya berjumpa dengannya kira-kira tiga bulan lalu dan apabila ditanya, dia hanya memberitahu semuanya dalam keadaan ‘okay’ di sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja'afar di sini.
Hadir sama sama menziarahi keluarga mangsa ialah Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau dalam satu kenyataan turut merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian pelajar berkenaan dan seluruh warga KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham
Dalam pada itu Kamaruddin berkata, keluarga tidak menyangka pertemuan itu menjadi antara kenangan terakhir bersama Allahyarham.
Beliau berharap siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan diberikan kepada Allahyarham.
“Sebagai keluarga, kami berharap pembelaan dan keadilan sewajarnya dapat diberikan kepada Allahyarham.
Jika ada pihak yang didapati bersalah berhubung kejadian ini, kami berharap tindakan dan hukuman setimpal dapat dikenakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, satu kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, di sebuah asrama sekolah menengah di Kuala Pilah semalam.
Susulan kejadian itu katanya, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam Jumaat di sebuah asrama sekolah menengah kebangsaan di daerah Kuala Pilah.
"Polis sedang meneliti semua fakta dan bukti bagi menentukan punca dan motif sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah, sebelum disahkan meninggal dunia.
Alzafny berkata, polis memandang serius sebarang kejadian keganasan yang melibatkan pelajar, khususnya kejadian yang mengakibatkan kehilangan nyawa.
Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau menularkannya sehingga boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga pelajar yang terlibat.
"Keutamaan pihak polis adalah untuk memastikan siasatan dijalankan secara profesional, menyeluruh dan berdasarkan bukti bagi memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.
Alzafny berkata, suspek kini direman enam hari bermula hari ini. -- Sinar Harian