Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan tertutup dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di pejabat menteri besar di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Muhyiddin tiba pada pukul 12.30 tengah hari dan dipercayai pertemuan itu diadakan berkaitan dengan bencana banjir besar yang berlaku di negeri ini baru-baru ini.

Turut hadir dalam pertemuan kira-kira 50 minit itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Khas Bencana Banjir Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Thajudeen Abdul Wahab.

Timbalan perdana menteri yang mengadakan lawatan sehari bagi meninjau keadaan pasca banjir, kemudian mempengerusikan mesyuarat koordinasi pelan tindakan pasca banjir negeri Kelantan di Hotel Sutera Inn Prima pada pukul 2 petang.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan kemudian menyertai gotong royong pembersihan akibat bencana banjir di Sekolah Kebangsaan Tanjung Cenak di Pasir Mas.

Lawatannya berakhir dengan beliau menyertai gotong royong pembersihan di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang di Rantau Panjang, Pasir Mas.