KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tampil dalam temu bual eksklusif menerusi RTM dan Bernama TV malam esok bagi mengupas isu-isu berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan usaha-usaha kerajaan menangani pandemik COVID-19.

Program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 Eksklusif Bersama-sama YAB Perdana Menteri itu turut akan menyentuh persoalan konsistensi prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme penetapannya, kelangsungan ekonomi negara pada era pandemik serta momentum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Diterbitkan secara kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), temu bual eksklusif yang dihoskan oleh Wan Syahrina Wan Ab Rahman daripada Bernama TV bersama Terrence Dass (RTM) itu akan menemui penonton pada 9 malam esok (23 Mei).

Bernama TV juga akan menyiarkan siaran ulangan temu bual eksklusif itu pada 2 pagi, 8 pagi dan 4 petang Isnin (24 Mei), 12 tengah malam Selasa (25 Mei) serta 9.30 pagi dan 5 petang Rabu (26 Mei). - BERNAMA