Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan Pasukan Petugas Khas yang dibentuk bagi menyiasat dakwaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan melakukan siasatan secara telus.

Beliau berkata semua pihak juga perlu yakin bahawa pembentukan Pasukan Khas itu ditubuh bagi mencari kebenaran berhubung segala tuduhan terhadap 1MDB.

"Sebab itu saya sokong sebuah pasukan penyiasat dibentuk. Itulah cara yang betul; bukan satu dua, tapi empat (panel terlibat)," kata Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Tadarus, Khatam Al-Quran dan Iftar UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Kampung Hujung Tambak, Gersik, Ledang di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah dilantik menganggotai Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan mengenai isu 1MDB.

Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh berkata pasukan petugas itu ditubuhkan bukan untuk mencari kesalahan sesiapa, sebaliknya untuk melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap segala tuduhan yang dilemparkan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh berkata selagi isu yang membelenggu 1MDB tidak diselesaikan segera, ia juga akan menjejaskan pandangan masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan negara.

"Ini bukan soal individu, tapi soal negara. Kalau ini tidak dijelaskan, imej negara mula jatuh," kata Muhyiddin.

Katanya lagi, ketika ini masyarakat antarabangsa melihat dengan teliti apa yang berlaku dan sebab itu kepercayaan mereka terhadap negara perlu dipulihkan.

Beliau berkata sudah semestinya semua pihak mahukan kesudahan yang baik terhadap kemelut yang berlaku kerana jika tidak ia akan menjejaskan juga pandangan masyarakat terhadap negara dan pemimpin.

"Paling penting kita juga mahukan keyakinan rakyat terhadap negara dan pemimpin termasuk keyakinan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) terus utuh, tambahan tidak lama lagi pilihan raya umum ke-14 akan diadakan," kata Muhyiddin.