"Kami nampak kipas dalam bilik darjah bergoyang ditiup angin kencang sebelum bumbung sekolah diterbangkan," kata Muhammad Nur Aiman Muhammad Nur, 11.

Menceritakan detik cemas sebelum bumbung sekolahnya diterbangkan angin, Muhammad Nur Aiman berkata hujan lebat kira-kira 10 minit berlaku sebelum berlaku ribut itu.

Kejadian kira-kira pukul 3.40 petang Ahad itu mengakibatkan enam murid darjah empat Sekolah Agama Bandar Selesa Jaya di Skudai terpaksa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini kerana cedera akibat terkena beberapa objek termasuk serpihan kayu dan siling.

Baki 16 murid lain yang turut berada dalam kelas sama pula terselamat.

Menurut Muhammad Nur Aiman, dia dan rakan baru sahaja hendak membaca al-Quran ketika angin melanda dan berikutan itu tidak sempat menyelamatkan diri sehingga menyebabkan kepala dan tangan kirinya dihempap sebatang kayu.

"Saya menjerit selepas kepala terkena kayu dan cikgu menyuruh kami lari secepat mungkin," katanya yang ditemui di HSA petang Ahad.

Muhd Nuur Hakim Abdul Latif, 11, pula memberitahu, menyedari kejadian itu dia sempat bersembunyi di bawah meja namun kakinya dihempap kayu.

"Saya cuba berlari biarpun kaki sakit sebab bimbang kalau terus berada dalam kelas, kejadian menjadi lebih buruk," katanya.

Sementara itu, guru kelas bagi keenam-enam murid terbabit, Siti Hanisah Hasan, 34, berkata bilik darjah yang terlibat terletak di tingkat dua bangunan sekolah itu baharu sahaja dibaik pulih dan dicat.

Siti Hanisah berkata dia mempunyai seramai 33 murid namun yang hadir ke kelas sewaktu kejadian hanya 22 orang.

"Kejadian telah merosakkan telefon bimbit dan beberapa peralatan pembelajaran saya kerana dimasuki air dan dihempap kayu.

"Sekarang, saya buntu bagaimana hendak mengajar murid lebih-lebih lagi saya ini cuma guru praktikal," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim berkata pihaknya akan mencari kawasan yang sesuai untuk menggantikan bilik darjah yang terjejas, sementara menunggu kerja membaik pulih dijalankan.

"Kerja membaik pulih akan dimulakan esok dengan bantuan kecemasan turut diberikan kepada semua mangsa, selain kos rawatan ditanggung oleh kami," katanya.