Skip to main content

Malaysia

Myanmar biaya sendiri penghantaran pulang rakyat - PM Anwar

Menurut Anwar, berdasarkan pengalamannya, amat sedikit negara yang sanggup menerima penghantaran pulang rakyat masing-masing dalam jumlah besar dengan menanggung sendiri kos berkenaan. - Foto Bernama
Menurut Anwar, berdasarkan pengalamannya, amat sedikit negara yang sanggup menerima penghantaran pulang rakyat masing-masing dalam jumlah besar dengan menanggung sendiri kos berkenaan. - Foto Bernama

Advertisement

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Myanmar kerana menanggung sendiri kos penghantaran pulang rakyatnya dari Malaysia dalam jumlah besar.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya, amat sedikit negara yang sanggup menerima penghantaran pulang rakyat masing-masing dalam jumlah besar dengan menanggung sendiri kos berkenaan.

“Tiada negara yang sanggup menerima penghantaran pulang rakyatnya dalam jumlah besar dengan menanggung sendiri kos berkenaan, seperti yang telah ditunjukkan oleh Myanmar.

“Justeru, sebagai sebuah kerajaan, sudah tentu kami ingin merakamkan penghargaan atas kerjasama tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing selepas pertemuan dua hala di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Anwar turut menyatakan sehingga kini, lebih 10,493 warga Myanmar telah dibawa pulang melalui penerbangan serta kapal tentera laut. 

Pada masa sama beliau turut menyatakan penghargaan kepada angkatan tentera laut atas kerjasama yang diberikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, Myanmar turut bersetuju menerima penghantaran pulang kira-kira 3,000 hingga 4,000 lagi rakyatnya yang kini berada di depot tahanan imigresen Malaysia.

Bagaimanapun, proses itu tertakluk kepada pengesahan kewarganegaraan, semakan rekod jenayah serta prosedur yang ditetapkan kedua-dua negara.

Lawatan rasmi Min Aung Hlaing turut menyaksikan perbincangan mengenai kerjasama ekonomi, perlindungan pekerja Myanmar di Malaysia serta usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

Kedua-dua negara turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan, termasuk dalam sektor pertanian, tenaga dan pembangunan kapasiti.


 

Must Watch Video

Advertisement