Skip to main content

Malaysia

Myanmar sahkan hampir 309,000 Rohingya layak kembali selepas keselamatan di Rakhine pulih

41632534098_Rohingyarefugees.jpg
Beberapa usaha oleh Bangladesh dan Myanmar untuk memulakan proses penghantaran pulang sebelum ini gagal, dengan tiada penghantaran pulang secara besar-besaran berlaku. - Gambar fail
Advertisement

ISLAMABAD: Myanmar buat pertama kali mengakui hampir 309,000 pelarian Rohingya di Bangladesh sebagai bekas penduduk negeri Rakhine, dan berkata mereka akan dibenarkan kembali selepas keadaan keselamatan di wilayah yang dilanda konflik itu bertambah baik, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut Kementerian Luar Myanmar,  seramai 308,975 orang yang melarikan diri disahkan sebagai bekas penduduk Rakhine, satu perkembangan penting dalam usaha berpanjangan untuk menghantar pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh.

“Myanmar akan menerima golongan yang melarikan diri dan disahkan sebagai bekas penduduk Negeri Rakhine apabila keadaan keselamatan di Negeri Rakhine menjadi lebih stabil,” menurut kementerian itu.

Beberapa usaha oleh Bangladesh dan Myanmar untuk memulakan proses penghantaran pulang sebelum ini gagal, dengan tiada penghantaran pulang secara besar-besaran berlaku berikutan kebimbangan faktor keselamatan, kerakyatan dan hak asasi.

Proses itu turut menjadi semakin rumit susulan pertempuran antara tentera Myanmar dan Tentera Arakan (AA), yang menguasai sebahagian besar kawasan di Rakhine.

Bangladesh menegaskan bahawa penghantaran pulang mestilah dilakukan secara sukarela, selamat dan mampan, manakala pelarian Rohingya menuntut jaminan kerakyatan, keselamatan serta hak asasi sebelum mereka kembali.

-- BERNAMA-ANADOLU          

Must Watch Video

Advertisement