JELEBU: Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia hasil rundingan antara kedua-dua kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, keputusan itu merupakan sebahagian usaha kerajaan menangani isu Rohingya yang berlarutan, di samping memastikan ketenteraman awam di Malaysia terus terpelihara.
Anwar berkata, kerajaan tegas dalam mengambil pendirian tegas terhadap mana-mana pelarian Rohingya yang mengganggu jalan raya, kawasan awam serta perniagaan rakyat.
"... Rohingya ini masalah kita sekarang. Saya dah bagi amaran dan semalam... dua hari sudah, saya (sudah) bagi arahan kepada polis, saya tak mahu Rohingya ganggu jalan raya dan tempat-tempat awam. Ini Malaysia.
“Jadi sebab hubungan baik (Malaysia) dengan Myanmar... sekarang ini dia setuju ambil 5,000 dulu dari Malaysia (dan) ambil 300,000 orang Myanmar Rohingya dari Bangladesh, hantar balik Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Minum Petang Bersama PMX Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan yang juga calon Pakatan Harapan (PH) DUN Chennah Anthony Loke di Simpang Durian di sini hari ini.
Anwar berkata, walaupun terdapat gesaan supaya semua pelarian Rohingya dihantar pulang, perkara itu bukan sesuatu yang mudah kerana Myanmar sebelum ini tidak menerima mereka.
“Orang kata, hantar balik! Hantar balik ke mana? Hantar ke Burma, Myanmar… mereka kat sana tak mahu terima.
“Sebab apa kita (berjaya) runding, sebab itu (adalah) hasil hubungan baik kita,” tambahnya
Menurut Anwar, perkembangan itu adalah hasil rundingan diplomatik antara negara terlibat dan membuktikan hubungan baik dengan Myanmar penting dalam menangani isu rentas sempadan.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan kepentingan rakyat Malaysia, sambil memastikan isu pelarian ditangani secara teratur dan mengikut undang-undang.