PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berharap permohonan pada Belanjawan 2027 mendapat kelulusan bagi membolehkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) terus dilengkapi peralatan terkini selaras dengan perkembangan teknologi operasi itu.
Ketua Pengarah NADMA Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata permohonan peruntukan dibuat setiap tahun menerusi proses saringan belanjawan, khususnya bagi memastikan pasukan khas negara itu sentiasa mempunyai keupayaan dan peralatan terbaik.
“Teknologi dan peralatan digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat sentiasa berubah, justeru SMART perlu bergerak seiring dengan perkembangan untuk meningkatkan keupayaan pasukan. SMART satu pasukan khas, jadi peralatannya kena yang terbaik,” katanya.
Meor Ismail berkata demikian selepas majlis meraikan kejayaan SMART mengekalkan pengiktirafan sebagai pasukan Heavy Urban Search and Rescue (Heavy USAR) oleh Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) di sini semalam.
Beliau berkata keperluan memastikan keanggotaan, kepakaran individu serta peralatan SMART sentiasa terkini juga penting bagi mengekalkan pengiktirafan antarabangsa pasukan itu.
Belanjawan 2027 dijadualkan dibentang di Parlimen pada 9 Okt.
Berhubung pengiktirafan itu, Meor Ismail berkata ia sah untuk tempoh lima tahun dan SMART perlu menjalani penilaian semula pada 2031 bagi memastikan pasukan itu terus memenuhi piawaian ditetapkan.
SMART mengekalkan pengiktirafan sebagai pasukan Heavy USAR menerusi INSARAG External Reclassification (IER) 2026 selepas menjalani penilaian lapangan selama 36 jam melibatkan 173 kriteria termasuk aspek perintah dan kawalan, tindak balas perubatan, pencarian teknikal, logistik serta keupayaan menjalankan operasi antarabangsa.
Terdahulu, Meor Ismail dalam ucapannya berkata Malaysia akan terus melabur dalam keupayaan USAR termasuk menambah baik peralatan, latihan dan penyelarasan antara agensi.
Beliau berkata Malaysia kekal komited untuk memperkukuh keupayaan tindak balas bencana dan mengekalkan kesiapsiagaan bagi menyokong tindak balas bencana pada peringkat antarabangsa.
“Kita bersedia bukan sahaja untuk melindungi rakyat sendiri tetapi juga menyokong negara jiran dan rakan kongsi antarabangsa apabila diperlukan,” katanya.
-- BERNAMA