NADMA perhalusi mekanisme terbaik urus banjir

"Kita (NADMA) boleh memberi cadangan melalui pengalaman kita dan kaedah yang terbaik sedang diperhalusi untuk diangkat ke MKN

Menurut Mohd Redzuan,  NADMA memperhalusi mekanisme terbaharu dan kaedah terbaik dalam menangani banjir yang lazimnya melanda negara pada penghujung tahun. - Gambar fail Astro AWANI | Astro Awani
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperhalusi mekanisme terbaharu dan kaedah terbaik dalam menangani banjir yang lazimnya melanda negara pada penghujung tahun.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, siri pertimbangan bagi tujuan menaik taraf mekanisme itu turut dimasukkan dalam kertas cadangan yang akan diketengahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kelulusan.

"Tugas NADMA hanya menguruskan bencana dan berfungsi sekiranya ada bencana. Jika sesuatu perkara lebih besar berlaku, tugas berkenaan akan diangkat ke MKN.

"Kita (NADMA) boleh memberi cadangan melalui pengalaman kita dan kaedah yang terbaik sedang diperhalusi untuk diangkat ke MKN," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (AMANAH-Pokok Sena) mengenai sama ada NADMA bersedia memikul tanggungjawab lebih besar, berbanding sekadar menangani banjir.

Jelasnya lagi, pihaknya mempunya cadangan untuk menggunakan kepakaran tenaga kepakaran asing yang berpengalaman dalam menguruskan banjir.

"Memang ada cadangan untuk guna kepakaran asing sekiranya ada kepakaran tertentu yang diperlukan sebagai contoh negara di Amerika Selatan."

"Mereka ada kepakaran yang boleh dikongsi dalam memberi penyelesaian banjir dengan penggunaan teknologi terkini," kata beliau lagi.