KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, pada Selasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bantuan itu bagi meringankan beban mereka.

Katanya, tabung khas juga ditubuhkan bagi memudahkan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa terbabit.

“Segala kos perjalanan terakhir yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira negara yang mencurah bakti sehingga ke akhir hayat mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Lembaga Siasatan diarah untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja, manakala laporan penuh perlu diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja.

Seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi Selasa.

Dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.

Pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.