SERIAN: Majlis pengebumian mendiang Joanna Felicia Rohna, mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), berlangsung lancar pagi ini.

Mendiang yang berusia 26 tahun disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Kampung Emperoh, di sini, dengan dihadiri oleh seluruh keluarga.

Turut hadir, Panglima Divisyen Pertama Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis, mewakili Panglima Tentera Darat dan Laksamana Pertama Ir Ts Franklyn Jeyasekhar Joseff mewakili Panglima Tentera Laut dan Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem.



Lebih 400 orang terdiri daripada ahli keluarga, penduduk, veteran dan anggota tentera serta pengamal media turut memenuhi majlis tersebut, yang berlangsung dalam cuaca  yang baik.

Keranda mendiang diturunkan sekitar jam 11.20 pagi selepas upacara keagamaan berakhir, diikuti kawad hormat bersenjata disempurnakan oleh 12 pegawai dan anggota TLDM yang berpangkalan di Kuching.

Terdahulu, keranda yang membawa jasad mendiang selamat tiba di Pangkalan Udara Kuching sekitar jam 11.54 malam Rabu menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh itu berlepas pada jam 9.18 malam Rabu selepas tertunda beberapa kali berikutan cuaca buruk.

Jasad mendiang yang tiba dalam suasana gerimis disambut dengan istiadat ketenteraan oleh 27 pegawai dan 80 lain-lain anggota daripada Divisyen Pertama Infantri Tentera Darat Malaysia yang berpangkalan di Kem Muara Tuang.

Keranda tersebut kemudian dibawa dengan kenderaan jenazah yang turut menempatkan suami dan anaknya sebelum dibawa secara konvoi ke kampung suaminya di Kampung Engkaroh untuk penghormatan terakhir.

Joanna merupakan salah seorang daripada 10 mangsa yang terbabit dalam insiden pelanggaran dua helikopter TLDM yang terbabit dalam raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 pada pagi Selasa lalu.

Sambutan yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu itu telah dibatalkan dan akan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat untuk mangsa terlibat nahas berkenaan.