Skip to main content

Malaysia

Nahas helikopter Ulu Baram: Kedutaan AS zahir rasa dukacita

https://x.com/usembassykl/status/2097553303450292384/photo/1
Kedutaan AS berkata misi berkenaan mencerminkan semangat khidmat bakti, belas ihsan dan tanggungjawab kepada masyarakat yang memerlukan bantuan. - X U.S. Embassy Kuala Lumpur
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur menzahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita susulan nahas helikopter yang mengorbankan lima rakyat negara ini yang terlibat dalam misi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Ulu Baram, Sarawak pada Selasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, kedutaan itu menyifatkan mangsa sebagai wira yang sedang menjalankan tugas membawa perkhidmatan kesihatan kepada komuniti pedalaman yang jauh dari bandar dan kemudahan hospital.

Menurut kenyataan itu, misi berkenaan mencerminkan semangat khidmat bakti, belas ihsan dan tanggungjawab kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.

“Kami berduka atas kehilangan yang amat menyayat hati ini dan menghormati jasa mereka yang telah menyumbangkan masa, kepakaran dan akhirnya mengorbankan nyawa dalam perkhidmatan kepada orang lain,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan AS turut merakamkan penghormatan kepada semua petugas yang terkorban dalam menjalankan amanah demi memastikan akses perkhidmatan kesihatan dapat dinikmati masyarakat di kawasan pedalaman.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang serta membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat yang sedang melaksanakan tugas rasmi.

Antara mangsa yang disahkan terkorban ialah Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, dan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 32.

Must Watch Video

Advertisement