Skip to main content

Malaysia

Nahas tiga beranak: Pemandu positif dadah direman empat hari

[TB]_REMAN TIGA BERANAK MAUT_IPD Kajang
Naazron Abdul Yusof, berkata lelaki tempatan berusia 42 tahun itu direman sehingga Ahad ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kemalangan terbabit. - Foto IPD Kajang
Advertisement

KAJANG: Pemandu positif dadah yang dipercayai merempuh sebuah motosikal dinaiki tiga beranak hingga mengorbankan mereka di Jalan Batu 17, Hulu Langat, dekat sini, direman empat hari. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata lelaki tempatan berusia 42 tahun itu direman sehingga Ahad ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan. 

Beliau berkata, kes masih disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian. 

"Setakat ini, belum ada keputusan sama ada siasatan akan diperluaskan atau diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam kejadian pukul 7.56 pagi Rabu, pasangan suami isteri bersama anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Perodua Aruz yang dipandu suspek.

Mangsa dikenal pasti sebagai seorang mekanik berusia 34 tahun, isterinya berusia 32 tahun dan anak lelaki mereka.

Siasatan awal mendapati tiga beranak itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Batu 18, Hulu Langat, di sini menuju ke Nanding sebelum sebuah Perodua Aruz dipercayai memasuki laluan motosikal yang dinaiki mereka.

Pertembungan itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak dari motosikal sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Semakan lanjut turut mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.

Must Watch Video

Advertisement