NATIONAL
Naik taraf lapangan terbang Ipoh selesai - MAHB

LTSAS kini mengendalikan perkhidmatan penerbangan harian oleh AirAsia ke Johor Bahru dan Scoot ke Singapura. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh telah menyiapkan projek pengoptimumannya, satu inisiatif komprehensif bertujuan untuk meningkatkan fungsi, kapasiti dan keselesaan keseluruhan lapangan terbang itu.
Ringkasan AI
- Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh telah selesai projek pengoptimuman, meningkatkan kapasiti tahunan kepada 700,000 penumpang dan memperluaskan ruang terminal.
- Penambahbaikan utama termasuk peningkatan kapasiti penumpang waktu puncak, kemudahan imigresen lebih efisien, keselamatan dipertingkatkan dengan lebih banyak CCTV dan sistem pemprosesan bagasi automatik.
- Kemudahan seperti tandas, ruang istirahat, kaunter penyewaan kereta, serta kedai makanan dan minuman turut ditambah baik, dengan LTSAS kini menyediakan penerbangan harian ke Johor Bahru dan Singapura.
Sebagai pengendali rangkaian lapangan terbang nasional, MAHB komited untuk memastikan semua lapangan terbang di bawah pengawasannya termasuk pintu masuk domestik seperti LTSAS mendapat perhatian sama untuk kekal relevan dan berdaya saing, kata Pengarah Urusannya Datuk Mohd Izani Ghani.
"Pendekatan ini sejajar dengan penekanan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan saksama merentas wilayah. Kami menyokong penuh aspirasi negara untuk menjadi hab penerbangan serantau yang terkemuka dengan memastikan kesalinghubungan kukuh antara lapangan terbang primer dan sekunder.
"Kami berusaha untuk menyediakan akses (perkhidmatan) udara seimbang di seluruh negara, satu tanggungjawab memacu usaha kami untuk menggalakkan mobiliti inklusif dan pertumbuhan ekonomi mampan di seluruh negara," katanya.
Antara penambahbaikan utama di LTSAS ialah ruang terminal diperluaskan, meningkat lebih 10 peratus, daripada 2,927 meter persegi kepada 3,257 meter persegi.
Ia juga menambah kapasiti pengendalian penumpang pada waktu puncak lapangan terbang kepada 510 penumpang sejam daripada daripada 240 sebelum ini.
Menyokong peningkatan ini, setiap ruang istirahat telah dibesarkan daripada 71 meter persegi kepada 270 meter persegi dengan tempat duduk baharu dipasang untuk menampung sehingga 80 peratus permintaan pada waktu puncak.
Hasilnya ialah persekitaran lebih luas dan selesa, mampu mengendalikan tiga kali ganda lebih banyak penumpang ketika waktu puncak perjalanan udara.
Kemudahan imigresen turut dinaik taraf untuk meningkatkan kecekapan dan memberikan pengalaman lebih lancar untuk pengembara dengan masa menunggu dikurangkan.
Di bahagian pelepasan, kaunter imigresen ditambah kepada empat daripada dua sebelumnya bersama infrastruktur sedia ada untuk menyokong penambahan dua pintu automatik dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, jumlah kaunter ketibaaan ditambah kepada enam kaunter daripada empat sebelum itu, dua autogate akan dipasang pada masa akan datang.
Kemudahan penumpang telah dipertingkatkan dengan ketara, tandas dinaik taraf, tandas mudah diakses untuk orang kelainan upaya (OKU) serta kemudahan menukar lampin bayi di Pintu Berlepas Domestik.
Bilangan mesin saringan keselamatan telah ditambah kepada lima daripada dua untuk menambah baik kecekapan pemprosesan dan mengurangakan masa beratur.
Untuk keselamatan penumpang dipertingkatkan, lapangan terbang itu telah melaksanakan sistem pengawasan termaju dan meluaskan liputan CCTV di seluruh terminal.
Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) turut ditambah, kini mempunyai 10 unit daropada lima sebelum ini.
Peruntukan juga telah dibuat untuk penambahbaikan pada masa depan bagi sistem 'Bag Drop' Layan Diri (SBD), mencerminkan pendekatan dipacu inovasi MAHB terhadap automasi dan aliran penumpang lebih baik.
Untuk menyelaraskan pengangkutan darat, kaunter penyewaan kereta dan teksi bersepadu telah diperkenalkan di Balai Ketibaan.
Selain itu, kedai makanan dan minuman baharu menawarkan ruang lebih selesa untuk penumpang berehat dan menjamu selera sebelum atau selepas penerbangan mereka.
LTSAS kini mengendalikan perkhidmatan penerbangan harian oleh AirAsia ke Johor Bahru dan Scoot ke Singapura.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami