KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Perak yakin keputusan penghakiman terhadap Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd tidak memberi kesan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ini kerana walau apa keadaan sekali pun, BN akan berusaha sedaya upaya untuk memenangkan parti itu pada PRU berkenaan.

“Tak ada kesan (susulan penghakiman ke atas Najib). Ini kerana orang lain akan tetap keluar mengundi.

“Semua parti-parti politik termasuk BN yang berhasrat unuk memenangi PRU dalam apa keadaan sekali pun, kita tetap kena ‘all out’ untuk berkempen (menang) pada hari pengundian nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Perak Sejahtera 2030: State Leadership Summit 2022 di Hotel Casuarina@Meru di sini, pada Rabu.

Pada Selasa,  Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.