MALAYSIA
Najib gagal gugurkan tiga tuduhan pengubahan wang haram RM27 juta

Najib gagal dalam percubaannya untuk menggugurkan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM27 juta milik SRC International Sdn Bhd. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak representasi Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta milik SRC International Sdn Bhd oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul, semasa prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim K. Muniandy, yang menyentuh mengenai status representasi tersebut yang dihantar pada 31 Julai 2023.
Pihak pendakwaan juga memaklumkan bahawa kes berkenaan akan diteruskan ke perbicaraan penuh.
Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima RM27 juta, yang didakwa hasil daripada aktiviti haram, menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya sekali.
Buat masa ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap beliau. Hukuman itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas menolak rayuannya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami