Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang tiba di sini petang Rabu bagi lawatan kerja dua hari ke Jepun, menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh rakan sejawatannya, Shinzo Abe dan isterinya Akie Abe.

Majlis makan malam itu, yang diadakan di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, turut dihadiri anggota rombongan Najib.

Terdahulu, setibanya beliau di sana, Najib mengadakan pertemuan dua hala dengan Abe, yang berlangsung di pejabat Perdana Menteri.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Datuk Othman Hashim, Duta Besar Malaysia ke Jepun Shaharuddin Md Som, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria dan Penasihat Khas (Hubungan Antarabangsa) kepada Perdana Menteri Datuk Mohammad Kamal Yan Yahaya.

Najib akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 mengenai Masa Depan Asia bertema "Rising Asia - Messages for the Next 20 Years", Khamis.

Persidangan antarabangsa itu merupakan forum yang menghimpunkan pemimpin politik, termasuk ketua kerajaan dan eksekutif perniagaan, setiap tahun bagi membincangkan masa depan negara di Asia Pasifik, dan bagimanana pembangunan di rantau ini mampu memberi impak kepada ekonomi global.

Sejak penubuhannya pada 1995, Masa Depan Asia diperakui sebagai antara persidangan antarabangsa utama di Asia.