Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dua inisiatif kerajaan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan dan membantu golongan muda memulakan perniagaan.

Inisiatif berkenaan ialah peruntukan RM50 juta bagi program Karisma Hati Rakyat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan RM50 juta untuk Dana Usahawan Muda dikendalikan SME Bank.

Najib berkata, Karisma Hati Rakyat menyediakan RM200 kepada setiap penerima yang layak di semenanjung malaysia, manakala RM300 untuk penerima di Sabah dan Sarawak secara ‘one-off’.

Manakala, dana usahawan muda, adalah untuk membantu golongan belia berumur 30 tahun ke bawah dalam bidang keusahawanan untuk memulakan perniagaan.

Tambahnya, dana tersebut diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berjaya pada masa hadapan.

Program ini akan dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan atau ICU Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Yayasan Kebajikan Negara.

Najib berkata demikian semasa berucap melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di Ipoh, semalam.

UTC Perak merupakan UTC yang ketiga selepas Kuala Lumpur dan Melaka yang menelan belanja 35 juta ringgit dan menempatkan 57 agensi, jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Kerajaan melancarkan dua lagi inisiatif baru untuk menambah kesejahteraan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah, miskin dan tidak bernasib baik diperingkat akar umbi dan golongan belia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan program baru ini berkata, inisiatif pertama ialah program kebajikan rakyat 1Malaysia atau Karisma Hati Rakyat.

Menurut Perdana Menteri melalui program ini, sebanyak RM50 juta telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk diagihkan kepada 200,000 penerima diseluruh negara.

Beliau menasihatkan penerima baucer supaya menebuskannya sebelum 31 Mac tahun ini.

Satu lagi inisiatif yang dilancarkan Perdana Menteri ialah dana usahawan muda yang dikendalikan oleh SME Bank untuk golongan belia yang berumur 30 tahun ke bawah untuk memulakan perniagaan.