KUALA LUMPUR: Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, tertangguh lagi.

Ia selepas Pakar Perubatan Klinikal, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohd Fadhli Zil Ikram Karim memberitahu mahkamah, Najib  masih menerima rawatan akibat cirit-birit dan berisiko mengalami dehidrasi.

Ketika prosiding kes berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, Dr Mohd Fadhli berkata, Najib mengadu sakit perut dan menunjukkan dia mengalami cirit-birit yang teruk.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Dr Mohd Fadhli berkata, dapatan tersebut diperoleh ketika melakukan pemeriksaan terhadap bekas Presiden UMNO itu pada jam 7.20 pagi Khamis.

“Pihak hospital turut meneruskan pemantauan namun kami dapati tekanan darahnya adalah stabil.

“Disebabkan cirit-birit itu, dia menunjukkan tanda-tanda berisiko tinggi mengalami dehidrasi,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, Najib terpaksa ditahan di wad untuk infusi garam intravena (IV) bagi menghidrat semula dia selain memantau tanda-tanda vitalnya.

Selepas berunding dengan pegawai atasannya, beliau berkata, Najib menunjukkan ketidakupayaan untuk menghadiri prosiding ke mahkamah dan diberi sijil cuti sakit selama sehari.

Sequerah kemudiannya menangguhkan prosiding dan ia bersambung 21 Jun depan.

Pada Selasa, Sequerah menangguhkan perbicaraan kes yang dijadualkan pada Selasa dan Rabu, selepas Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Penjara Kajang, Dr Mohd Hafiz Mohd Hoshni memaklumkan Najib mengalami masalah kesihatan.

Najib, 70, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 44 saksi.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.