PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memberi tempoh sehingga 20 Mei untuk Datuk Seri Najib Razak memfailkan permohonannya melantik Peguam Diraja (QC) bagi rayuannya dalam kes RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Memetik laporan The Star, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata tarikh akhir itu ditetapkan oleh timbalan pendaftar Siti Hajar Mustaffa semasa pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

"Perbicaraan untuk permohonan kemasukan (QC) ditetapkan secara tentatif pada tarikh antara 20 dan 24 Jun," kata Mohd Ashrof seperti dilapor akhbar tersebut.

BACA: Najib mahu lantik Peguam Diraja kerana rayuan SRC libat isu kompleks - Peguam

Selain Ashrof, pihak pendakwaan turut diwakili oleh DPP Datuk V Sithambaram, manakala Najib diwakili Peguambela Syahirah Hanapiah dalam pengurusan kes hari ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu dilapor memohon Peguam Diraja dari United Kingdom (UK)  mengemukakan rayuan bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes berkenaan di Mahkamah Persekutuan.

Pelantikan Peguam Diraja itu akan dibuat secara ad-hoc selepas mendapat kebenaran daripada mahkamah Malaysia.



Mahkamah juga menetapkan 15 dan 16 Mac untuk mendengar rayuan Najib untuk mengemukakan bukti baharu.

Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dalam kes SRC dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

Sehari selepas itu, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020.

Pada hari sama, Najib, 69, memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.