KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan semua dakwaan daripada bekas pengawal peribadinya Sirul Umar Azhar, dalam satu wawancara yang disiarkan dalam program Al Jazeera's 101 East mengenai pembunuhan Altantuya Shaaribuu pada 2006.

"Bagi menyokong usaha ini, anak guam kami mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia kemungkinan menawarkan jaminan untuk tidak mengenakan hukuman mati bagi memudah cara objektif keadilan dan kebenaran secara meluas.

Anak guam kami (Najib) mempertahankan kesemua hak perundangan dan remedi dalam perkara ini terhadap Sirul, Al Jazeera dan wartawannya Mary Ann Jolley, beliau kekal teguh menafikan sebarang penglibatan dalam kematian tragik Altantuya Shaaribuu menerusi jenayah yang amat kejam itu," katanya.

Kami mahu menegaskan bahawa anak guam kami (Najib) telah dilepaskan secara muktamad daripada sebarang penglibatan dalam kes ini dan ini disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk siasatan semula pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 dan disahkan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan menerusi rayuan substantif di Mahkamah Persekutuan yang mendengarnya secara komprehensif berdasarkan merit, kata firma guaman itu.

Shafee and Co juga menekankan bahawa kedua-dua Sirul dan Azilah Hadri tidak pernah menjadi pengawal peribadi khusus untuk Najib dan datang daripada satu kumpulan pengawal peribadi yang digilir-gilirkan antara pemimpin teratas dalam kabinet semasa itu.

-- BERNAMA